SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bersedia bertukar kerusi dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pertukaran itu melibatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Sibu dan Sarikei.
Bagaimanapun, katanya ia hanya dapat dijalankan sekiranya mendapat persetujuan daripada SUPP.
“Kami bercadang dan berminat dengan kerusi DUN Dudong, Meradong, Repok termasuk Pelawan.
“Ini kerana SPDP masih belum lagi mempunyai kerusi di kawasan Sibu. Justeru, kami mempertimbang pertukaran beberapa kerusi itu,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) SPDP Zon Tengah di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi SPDP Zon Tengah Datuk Lau Cheng Kiong, Timbalan Pengerusi SPDP Zon Tengah Teo Boon Siew serta ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN).
Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Timur itu berkata, sekiranya SUPP setuju dengan pertukaran itu mereka boleh duduk berbincang.
“Itu adalah semangat BN. SPDP dan SUPP boleh mempertimbang perkara ini asalkan kami bersetuju sebulat suara. Ia tiada isu tetapi atas dasar setia kawan dalam BN.
“Bagi SPDP, kami setuju pertukaran kerusi itu dan kini hanya menunggu maklum balas SUPP sebelum duduk berbincang mengenai perkara itu,” jelasnya.
Ahli Parlimen Bintulu itu memberitahu bahawa SPDP meningkatkan kerjasama dengan SUPP bagi menghadapi PRN 2016 ini.
Ketika ditanya mengenai kerusi DUN baharu, beliau menjelaskan bahawa SPDP sedang mengintai kerusi DUN Mulu dan Samalaju.
Ini kerana DUN Samalaju, SPDP mempunyai kira-kira 5,000 ke 6,000 ahli parti begitu juga di Mulu tidak kurang ramainya.
“Kami mahukan kedua-dua kerusi baharu itu disebabkan SPDP mempunyai ahli parti yang ramai di kedua-dua kerusi itu,” katanya sambil memberitahu, terpulang kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menentukannya.
Bagi persediaan PRN 2016, Tiong berkata SPDP sudah bersedia termasuk jentera parti sudah bergerak.
“Hanya kami belum melancarkan jentera SPDP. Pada PRN 2016 ini, SPDP tiada isu masing-masing sudah bersedia dan jentera sudah turun padang.
“Kami yakin PRN 2016 ini SPDP mampu menang semua kerusi seandainya kerjasama erat dengan komponen BN lain. Itu sahaja syaratnya,” katanya.
Tiong menjelaskan bahawa SPDP terus memberi sokongan padu dan menyokong kepimpinan Adenan sambil berdiri teguh di belakangnya bagi menghadapi PRN akan datang.
- Borneo Post Online

Post a Comment