5 tahun lagi diperlukan untuk sempurnakan keputusan dan langkah menuntut hak Sarawak


BINTULU: Lima tahun lagi diperlukan untuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memimpin negeri ini supaya keputusan dan langkah-langkah untuk menuntut hak Sarawak dapat disempurnakan.

Begitupun beberapa keputusan yang memberi manfaat dan keuntungan kepada Sarawak telah dibuat dalam tempoh lebih dua tahun lalu.

Adenan berkata: “Beri saya lima tahun dan peluang, kalau tidak bagus tolak saya keluar dan saya gembira untuk keluar.

“Hanya beri saya peluang lima tahun lagi, dua tahun tidak cukup. Saya tidak minta sehingga 33 tahun tetapi lima tahun lebih lagi sudah memadai,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Rakyat di Padang Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew malam kelmarin.

“Bukan saya gila pangkat, tidak. Menjadi menteri di Kuala Lumpur sudah, menteri di Kuching sudah, Ahli Parlimen (MP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pengerusi itu pengerusi ini semua sudah,” tambahnya.

“Kita telah memberi bermacam-macam keputusan dalam tempoh singkat lebih dua tahun, jadi apa sebab anda tidak mahu memberi saya lima tahun lagi? Lima tahun cukup, lepas itu saya pencen. Sekarang pun umur saya 72 dan lima tahun lagi 77,” ujarnya.

Adenan menjelasnya, antara 50 keputusan dan langkah yang beliau telah lakukan dalam tempoh lebih dua tahun menjadi Ketua Menteri ialah mempertahankan maruah rakyat Sarawak dengan meminta memansuhkan perkataan lain-lain untuk kaum dalam borang rasmi kerajaan, tidak menggelar masyarakat Cina sebagai pendatang, meminta kerajaan pusat membuat dasar dengan mengambil kira semua kaum dan agama terutama di Sarawak.

Tidak membenarkan penubuhan UMNO di Sarawak termasuk kehadiran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana Sarawak telah ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mampu membela nasib rakyat negeri ini.

“Hanya orang Sarawak lebih tahu mengenai keadaan Sarawak. Sekiranya parti-parti ini datang untuk membantu dibolehkan tetapi tidak dibenarkan untuk mendaftarkan cawangannya di negeri ini,” katanya.

Selain itu katanya, langkah tegas lain adalah pembanterasan pembalakan haram, tiada lagi pemberian lesen konsesi pembalakan dan menghentikan pembukaan ladang komersial kelapa sawit, menurunkan tarif elektrik, penghapusan tol jambatan dan pengurangan caj untuk pengangkutan feri yang mana pengguna hanya perlu membayar RM1.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget