KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak tidak meletakkan sasaran untuk mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebaliknya menetapkan fokus bagi meningkatkan kekuatan pembangkang khususnya di kawasan luar bandar.
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata dengan itu, mereka akan dapat menafikan majoriti dua pertiga kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
“Kami memerlukan 28 kerusi iaitu melibatkan kira-kira 12 hingga 15 kerusi bandar dan lebih banyak kerusi luar bandar.
“Untuk itu, kami berharap rakyat di kawasan luar bandar boleh cuba dan membantu kami untuk menjadi ejen perubahan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sarawak di sini, semalam.
Terdahulu, Chong yang juga ADUN Kota Sentosa merangkap Ahli Parlimen Bandar Kuching mengakui bahawa PRN kali ini adalah bukan soal mengubah kerajaan kerana hakikatnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan terus mendapat mandat untuk menerajui kerajaan negeri bagi tempoh satu penggal lagi.
Justeru, katanya fokus kempen pembangkang khususnya DAP pada PRN nanti akan menekankan tentang kos sara hidup yang telah menjejaskan rakyat terutama oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Perkara yang pelik tentang Malaysia ialah kita sebuah negara pengeluar minyak tetapi apabila harga minyak dunia naik, ia turut meningkatkan kos sara hidup rakyat.
“Malah apabila harga minyak dunia turun, kos sara hidup juga meningkat…jadi ini adalah sesuatu yang sangat pelik,” katanya sambil menambah, ia adalah disebabkan salah urus dalam pentadbiran kerajaan.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.