PBB Parti Politik Berdisiplin - Abang Johari


KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan parti politik yang paling berdisiplin di negara ini, kata Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dalam PBB tidak berlaku percakaran sesama pemimpin untuk berebut jawatan di dalam parti seperti apa yang berlaku di dalam parti politik yang lain.

"Di dalam PBB pemimpin yang sudah meningkat usia akan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk memimpin termasuk mengangkat ramai anggota wanita untuk menjadi pemimpin.

"Inilah cara kami di dalam PBB menyusun kepimpinan parti supaya parti terus kuat untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Jentera Pilihan Raya DUN Pantai Damai di Damai Beach Resort dekat sini, Ahad.

Beliau berkata PBB juga memerlukan lebih ramai golongan bijak pandai bagi meneruskan kepimpinan parti yang sememangnya memerlukan barisan kepimpinan yang berkaliber.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata kerajaan negeri Sarawak mempunyai perancangan pembangunan ekonomi yang sangat baik untuk rakyat dan negeri.

"Misalnya, dalam sektor pelancongan kami mempunyai banyak perancangan untuk membangunkan pelbagai kemudahan infrastruktur pelancongan dan produk-produk baharu," kata beliau.

Katanya, kawasan Pantai Damai yang sudah terkenal dengan produk pelancongan akan dimajukan lagi dalam usaha menyediakan peluang-peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

"Bagi penduduk bandar, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur pelancongan dan perkhidmatan kerana di bandar industri perkhidmatan dan pelancongan merupakan antara penjana utama ekonomi rakyat," katanya.

Di samping itu, katanya rakyat negeri ini perlu menguasai bahasa Inggeris yang menjadi bahasa komunikasi peringkat global, terutama ketika negeri ini sedang giat memajukan sektor pelancongan dan perniagaan.

Mengenai projek pembangunan kawasan perumahan dan komersial Darul Hana di sini, beliau berkata apabila siap kelak projek yang akan menjadi mercu tanda baharu itu bakal memberi manfaat kepada 14,660 penduduk daripada 3,647 keluarga yang menghuni kampung-kampung tradisi sepanjang Tebingan Kuching.

"Kawasan komersial baharu dan perumahan moden akan dibangunkan untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi bagi penduduknya," katanya.

Abang Johari berkata kerajaan negeri mempunyai misi dan visi untuk rakyat dan negeri ini, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang.

Katanya, projek Darul Hana turut mendapat pujian daripada pelabur Singapura dan China yang berada di sini baru-baru ini.

"Matlamat projek Darul Hana akan memanfaatkan penduduknya dan menjadikan bandaraya Kuching lebih menarik," katanya. -Bernama-

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget