Dr Roland calon berpotensi di Mulu


MIRI: Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Anyi Ngau mengingatkan rakyat khususnya di kawasan pedalaman bahawa hanya empat parti komponen Barisan Nasional (BN) boleh mengemukakan calon masing-masing.

Jelasnya, SPDP sebagai salah satu komponen BN turut diberi tanggungjawab mengemukakan calon berwibawa dan mampu meneruskan kesinambungan pembangunan dibawa sebelum ini untuk rakyat di kawasan pedalaman.

“SPDP antara empat parti komponen dipertanggungjawabkan meneruskan pembangunan terutama masyarakat di luar bandar dan bukannya parti yang tiada kaitan.

“Di Parlimen Baram kawasan konstituensi saya sebagai wakil rakyat, terdapat dua kerusi dimiliki SPDP dan sewajarnya kerusi baharu iaitu Mulu diserahkan kepada SPDP,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Baram di Kampung Lio Mato malam Jumaat lalu.

Majlis dihadiri sekitar 300 penduduk serta wakil dari Kampung Long Tungan dan Long Semiyang.

Hadir sama Ketua Kampung Lio Mato merangkap Bendahari SPDP Bahagian Miri Peter Edam dan Pengerusi SPDP Bahagian Pujut Henry Colin Belawing.

Ahli Parlimen Baram itu berkata, SPDP sudah mempunyai calon sesuai bagi kerusi Mulu sekiranya kerusi baharu itu diserahkan kepada parti terbabit.

Katanya Naib Presiden Kanan SPDP merangkap Ahli Jawatankuasa Protem SPDP Bahagian Mulu Dr Roland Dom Mattu adalah calon yang layak.

Menurut Anyi, adalah rasional mewujudkan kerusi baharu itu dan bermakna Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat memandang serius untuk memenuhi keperluan rakyat lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman.

“Dr Roland adalah calon tepat untuk menyuarakan permintaan rakyat di kawasan Mulu.

“Beliau merupakan anak jati kaum Kelabit dari Bario, mampu mewakili masyarakat Orang Ulu tanpa rasa takut atau pilih kasih bagi menyampaikan hasrat serta suara rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Roland dalam ucapannya berkata isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menjadi agenda utamanya membantu masyarakat di kawasan pedalaman, selain isu jalan raya yang sempurna untuk penduduk sekitarnya.

Jelasnya, jika beliau diberi kepercayaan beliau yakin dengan kerjasama yang ada beliau dapat memberi komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan sebaik mungkin dan mengetengahkan masalah masyarakat pedalaman.

Beliau yang melawat kawasan Lio Mato dengan perjalanan lima jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda, amat tersentuh dengan kawasan jalan balak teruk yang perlu dilalui masyarakat terbabit.

“Seseorang wakil rakyat yang dipilih nanti perlu turun padang agar mereka merasai bagaimana penduduk di sini perlu lalui untuk sampai ke sesuatu destinasi dengan jalan balak yang amat mencabar,” katanya.

Beliau turut membuat tayangan ‘slide’ dan berkongsi tentang sejarah, tradisi dan adat berhubung tanah asli kaum Orang Ulu.

Katanya masyarakat Orang Ulu perlu mempertahankan tanah adat mereka tanpa diberi atau diserah kepada orang lain.

Dr Roland turut menjelaskan bahawa Ketua Menteri patut diberi mandat dan kepercayaan kerana beliau seorang pemimpin yang amat mendengar suara rakyat.

Beliau turut bercadang mengadakan lawatan ke Kampung Long Banga selepas Tahun Baharu Cina nanti. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget