MIRI: Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah besar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir dan Bekenu jika dilihat kredibiliti calon pembangkang.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata calon diletakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Lambir dan Bekenu adalah calon kitar semula dan tidak pernah berkhidmat kepada rakyat.
“Saya percaya mana-mana calon BN yang diletakkan di kedua-dua kerusi itu akan menang dengan majoriti besar kerana rakyat tahu calon pembangkang hanya muncul pada pilihan raya sahaja,” katanya di sini, semalam.
Ahmad Lai berkata, calon kitar semula pembangkang itu sudah beberapa kali kalah pada pilihan raya lalu dan tidak mustahil calon itu mengulangi sejarah sama.
“Rakyat di kawasan Parlimen Sibuti tahu sejarah individu itu sementara seorang lagi calon baharu PKR tidak pernah bekerja untuk rakyat tetapi berhasrat untuk menjadi calon,” jelasnya.
Beliau memberitahu, dengan kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan dasar-dasar diperkenalkan maka rakyat akan setia dengan BN.
“Kita percaya Adenan bijak meletakkan calon berpotensi menang di ke-dua-dua DUN berkenaan dan kita sebagai rakyat harus memberi kepercayaan kepada beliau pada PRN nanti,” katanya.
PKR meletakkan Ketua PKR Cabang Sibuti Mohdar Ismail sebagai calon di DUN Lambir sementara Gaby Janting Douglas di kerusi DUN Bekenu.
Terdahulu, Ahmad Lai menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerja-Kerja Pembinaan Bangunan Yayasan Al Hidayah Miri Fasa II di sini, semalam.
Dalam ucapannya, beliau berkata amat pen-ting ibu bapa, dermawan dan badan-badan korporat membantu menyediakan kemudahan asas kepada sekolah atau taska.
“Pendidikan penting kepada anak-anak, justeru mereka harus menyumbang untuk pembangunan sekolah seperti meng-hulurkan dana keperluan sekolah,” jelasnya.
Hadir sama Presiden Yayasan Al Hidayah Miri Ahmad Kendong Abdul Khan dan Temenggung Abdul Rahman Fadzil.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan geran sejumlah RM50,000 bagi menampung keperluan pembinaan projek berjumlah RM1.6 juta itu melibatkan kawasan seluas 1.4 ekar itu.-Borneo Post
Post a Comment