BEKENU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu mahu kerusi terbabit yang kini masih milik Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dikembalikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Veteran PBB Bekenu Mansor Mahdar, 61, berkata ini penting bagi meredakan keadaan politik di kawasan itu yang kini masih tegang dengan status sebenar kerusi itu ekoran penyandangnya ‘melompat parti’.
“Sebagai jalan penyelesaian, kerusi itu harus dikembalikan kepada PBB kerana faktor utamanya kebanyakan peng-undi di kawasan itu adalah penyokong kuat PBB,” kata-nya di sini, semalam.
Mansor berkata sekiranya rundingan pertukaran kerusi itu berjalan lancar maka pihak terbabit akan menamakan beberapa calon berpotensi mewakili Barisan Nasional (BN) di situ.
Antara calon yang disebut-sebut berpotensi ialah Datu Jumastapha Lamat, Kaunselor Annuar Ahmad, Sarkawi Suhaili dan Ali Usop Sual.
Mansor berkata dengan kedudukan PBB Bekenu semakin kukuh maka sudah cukup untuk pihaknya menggerakkan jentera pilihan raya bagi memberi kemenangan kepada calon PBB.
“Secara peribadi meletakkan calon PBB di kerusi Bekenu bukan kerana ada agenda tersembunyi tetapi disebabkan kawasan berkenaan padat dengan penyokong PBB dan keberangkalian untuk menang adalah besar,” jelasnya.
Beliau juga setuju dengan keputusan mesyuarat jentera pilihan raya PBB Ranting Bekenu mahu kerusi DUN Bekenu diserahkan kepada PBB.
“Kami sentiasa memberi sokongan padu bagi membolehkan calon BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dan kali ini biarlah calon PBB sendiri bertanding di sini (Bekenu),” jelasnya.
Cadangan itu adalah langkah terbaik memastikan kestabilan politik di DUN Bekenu sekali gus merancakkkan pembangunan di kawasan luar bandar.
Untuk rekod, kini berlaku perebutan kerusi antara SPDP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tetapi ahli-ahli PBB Bekenu mahu kerusi DUN tersebut diserahkan kepada parti asalnya, PBB.
Sehubungan itu, keputusan bagi status sebenar kerusi DUN Bekenu hanya di tangan Pengerusi BN Sarawak merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. - Utusan Borneo.
Post a Comment