Singapura, Sarawak jalin kerjasama pelancongan


KUCHING: Singapura dan Sarawak dalam peringkat rundingan serius untuk mengenal pasti projek pelancongan yang berpotensi dibangunkan di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Singapore Cooperation Enterprise (SCE) Bagi Asia Pasifik Kevin Chong selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SCE dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) yang mewakili Kerajaan Negeri Sarawak semalam.

Majlis yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini itu, disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Kevin berkata Singapura berminat membangunkan potensi pelancongan di Sarawak yang masih belum diterokai khususnya aset semula jadi.

Sarawak katanya, kaya dengan hutan hujan tropika, gua batu kapur yang cantik dan besar seperti Gua Mulu, mampu menarik kedatangan pelancongan khasnya dari Singapura ke negeri ini.

“SCE amat gembira dan berbesar hati untuk berkongsi pengalaman Singapura dalam pembangunan pelancongan dengan kerajaan Sarawak menerusi PELITA dan Kementerian Pelancongan.

“Menerusi MoU yang ditandangani hari ini (semalam) sudah tentu kita (SCE) mengalu-alukan rundingan seterusnya mengenai projek-projek pelancongan tertentu yang boleh dibangunkan bersama khususnya membabitkan aset semula jadi,” jelasnya.

Menurut Kevin lagi, SCE bukan sekadar mahu melabur tetapi memahami visi pelancongan kerajaan Sarawak supaya ia dapat menyokong visi tersebut dengan membawa pemain-pemain industri yang sesuai dari negara itu terlibat aktif sama ada dalam bentuk khidmat nasihat atau pelaburan.

Namun ujarnya, perkara sangat penting yang perlu diutama dalam apa jua bentuk pembangunan pelancongan dilaksanakan ialah ia harus tidak mengetepikan usaha-usaha pemeliharaan alam semula jadi.

“Sudah tentu kita harus melindungi alam semula jadi dan mengekalkan identiti budaya sedia ada dan pada masa sama mempromosikannya kepada dunia luar.

“Bagaimanapun buat masa ini kami belum lagi menentukan projek pelancongan secara spesifik kerana ia sudah tentu memerlukan banyak siri rundingan mengenai hala tuju dan pendekatan kerjasama yang bakal dijalin nanti,” jelasnya.

Kevin juga percaya menerusi jalinan kerjasama itu SCE akan dapat membantu kerajaan Sarawak mencari jalan terbaik untuk menambah jumlah kedatangan pelancong bukan sahaja dari Singapura tetapi negara lain dalam wilayah ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Ketua Pegawai Eksekutif SCE Kong Wy Mun dan Pengurus Besar PELITA Datuk Dr Sulaiman Husaini. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget