KUCHING: Ikhlas. Bantuan kami kepada mangsa banjir yang amat memerlukan memang ikhlas dan bukan untuk memancing undi, kata Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.
Mangsa banjir diberi bantuan oleh SUPP tahu siapa ikhlas membantu dan pihak mana yang sekadar ingin meraih publisiti murahan dengan situasi semasa demi mendapatkan sokongan politik, katanya.
“Perasaan dan ingatan kita sentiasa bersama mereka yang terjejas akibat banjir.
“Sama seperti tahun lepas, ahli-ahli SUPP dan sukarelawan mencuba yang terbaik untuk menghulurkan bantuan di lapangan,” jelasnya ketika menjawab dakwaan beberapa pihak yang ahli politik sekadar ingin meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 kelak menerusi bantuan semasa banjir.
Mengambil iktibar pengalaman banjir pada tahun lepas, SUPP jelasnya telah menubuhkan satu jawatankuasa dan memastikan setiap cawangannya bersedia pada masa banjir.
Mereka juga katanya, telah membeli peralatan seperti dapur bergerak, jaket keselamatan, bot penyelamat dan lain-lain agar dapat melengkapkan bantuan diberikan kerajaan.
“Sebagai warga Sarawak, kita harus bersama-sama membantu antara satu sama lain pada saat begini.
“Lebih baik kita mengabaikan publisiti murahan,” katanya.
Sementara itu, calon berpotensi DAP di Batu Kitang Aziz Isa turut menafikan tindakan parti politik terutama DAP membantu mangsa-mangsa banjir adalah semata-mata untuk meraih undi.
Sambil menyifatkan ia sebagai satu taktik murahan, beliau menegaskan bahawa pihaknya membantu mereka yang dalam kesusahan atau ditimpa bencana tidak mengira waktu.
“Kami membantu mereka sedaya upaya dengan menyediakan makanan, menghubungi pihak berkaitan dan memastikan semua orang selamat,” katanya yang turut menjelaskan bahawa beliau sentiasa berada di lapangan bagi meninjau masalah penduduk hampir setiap hari.
Jika bantuan mereka dilabelkan semata-mata ingin memancing undi, beliau menegaskan ia sebagai tidak benar.
“Mengapa saya masih ke kawasan seperti Kampung Sejijak, Kampung Paroh dan Kampung Kudei Baru ketika banjir sedangkan kawasan itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dan DUN Satok,” soalnya.
Beliau berkata lagi, DAP sentiasa sedia membantu tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kawasan mereka yang memerlukan pertolongan.
“Meskipun saya telah dicalonkan oleh parti untuk bertanding di DUN Batu Kitang atau DUN Kota Sentosa, saya masih ke kawasan Petra Jaya,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.