Pengurus sekretariat Bersih Mandeep Singh mendapat tahu yang beliau dilarang menjejakkan kaki ke Sarawak selepas berada di negeri itu selama 3 hari melakukan kerja pemantauan perjalanan pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung April depan.
Mandeep berkata, beliau dimaklum perkara itu sewaktu tiba di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebentar tadi untuk menaiki pesawat kembali ke Kuala Lumpur.
"Saya sudah di Sarawak sejak Sabtu lepas (13 Februari) dan sepatutnya hari ini saya pulang semula (ke Kuala Lumpur). Apabila sampai di imigresen, pegawai berkenaan meminta saya tunggu dan dia menyemak cara saya masuk ke Sarawak.
"Saya beritahulah yang saya masuk seperti biasa menerusi lapangan terbang dan kemudian sata dimaklumkan yang nama saya termasuk dalam senarai larangan sejak 28 Januari," katanya kepada The Malaysian Insider.
Mandeep kini dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur dengan pesawat Rayani Air yang dijadualkan berlepas pada 9.50 malam.
Mandeep berkata, beliau dimaklumkan namanya berada dalam senarai gred A yang bermaksud larangan itu datang daripada pejabat ketua menteri Sarawak sendiri.
"Pihak Bersih sejak Oktober 2015 ada berhubung dengan pihak ketua menteri berhubung hasrat kami memantau pilihan raya negeri.
"Beliau juga bersetuju untuk bertemu kami namun pertemuan tersebut ditangguhkan kerana beliau sibuk.
"Tetapi sekarang kami pula dilarang memasuki Sarawak," kata Mandeep.
Beliau akan membincangkan langkah selanjutnya berhubung larangan ini bersama peguamnya.
Sabah dan Sarawak merupakan 2 negeri di Malaysia yang mempunyai autonomi ke atas imigresen, kuasa yang dinyatakan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 – membuka jalan bagi kedua-dua negeri itu untuk menyertai Malaya dan Singapura semasa pembentukan Malaysia.
Tujuan utama kuasa ini ialah untuk mencegah transmigrasi ekonomi – kemasukan pendatang ekonomi lebih maju dari Malaya dan Singapura ke Sabah dan Sarawak – yang akan mengambil peluang pekerjaan daripada penduduk tempatan.
Pengkritik bagaimanapun berhujah Sarawak menyalahgunakan kuasa bagi menyekat pengaruh pembangkang di negeri itu. – The Malaysian Insider.
Post a Comment