Abdullah Bidas Kenyataan Mencuit Hati Wong King Wei


KUCHING: Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei yang mengatakan masyarakat Cina terpaksa ‘mengemis’ memohon peruntukan untuk sekolah aliran Cina.

Sambil menyifatkan kenyataan ADUN DAP itu sebagai mencuit hati, beliau berkata adakah selama ini masyarakat Cina di Sarawak dilayani dengan tidak adil sehingga mereka terpaksa ‘mengemis.’

“Cara wakil rakyat DAP ini berfikir memberi gambaran sebenar falsafah politik DAP yang tidak inklusif.

“Perjuangan politik DAP sama sahaja yang diamalkan di Pulau Pinang di mana masyarakat Bumiputera dipinggir serta tersisih,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurutnya, seorang wakil rakyat PKR di Pulau Pinang menangis ketika berucap pada persidangan DUN Pulau Pinang baru-baru ini kerana kawasan beliau tidak mendapat perhatian daripada kerajaan DAP.

Malah, katanya, ada wakil rakyat DAP sendiri mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana tidak sensitif dengan permasalahan warga desa di negeri itu.

“Apakah YB Wong lupa sejarah bahawa penubuhan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta ‘persefahaman’ dengan kerajaan untuk membenarkan mereka mengurus sendiri sekolah jenis berkenaan?” soalnya.

Abdullah yang juga ADUN Semop berkata lagi, satu lagi kenyataan Wong yang dianggapnya sebagai melampau ialah apabila dia membuat andaian bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak bekerja keras sehingga rakyat menjadi ‘hamba’ untuk mendapat peruntukan kerajaan.

Katanya, semua pengundi di kawasan DAP Sarawak harus menilai dengan jujur prestasi wakil rakyat dari parti pembangkang itu yang hanya tahu mencari kesalahan orang lain tetapi tidak membawa sebarang perubahan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, kebajikan masyarakat Cina akan lebih mendapat perhatian jika wakil rakyat mereka sama-sama berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jika masyarakat Cina Sarawak terus percaya serta terpedaya dengan tipu helah politik DAP yang palsu dan putar belit, katanya, itu pilihan mereka tetapi jangan mengeluh jika kerajaan akan memberi perhatian kepada kawasan pedalaman yang majoritinya masyarakat Bumiputera yang sentiasa setia menyokong polisi pembangunan BN.

“Sekali lagi saya menyeru kepada kerajaan supaya sentiasa memberi perhatian kepada kawasan di mana masyarakatnya sentiasa setia menyokong inisiatif pembangunan kerajaan dan tidak perlu untuk memanja sangat kawasan di mana wakil rakyat mereka sentiasa memperkotak-katikkan usaha kerajaan.

“Adalah malang jika kerajaan BN yang memerintah dan mengurus pentadbiran kerajaan negeri Sarawak tidak ada wakil yang cukup dari kalangan masyarakat Cina.

“Kita ingin bersama-sama warga negeri dari berbilang bangsa membangunkan negeri ini,” katanya. -Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget