KUCHING: Tiada sebab mengapa orang Cina di Sarawak kini hilang keyakinan terhadap konsep perkongsian kuasa dalam kerajaan bagi membangun Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, orang Cina merupakan kumpulan terawal menyahut seruan membentuk kerajaan berasaskan konsep pengkongsian kuasa pada 1970.
“Saya tidak melihat ada alasan mengapa kaum Cina sekarang hilang kepercayaan terhadap konsep perkongsian kuasa dengan kaum lain dalam usaha kita membawa Sarawak ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina semalam.
Jelasnya, untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju pada masa hadapan, kerjasama semua kaum termasuk Cina amat mustahak.
“Perkongsian kuasa berjalan dengan sempurna dan kita akan terus mengamal konsep itu bagi memastikan Sarawak membangun lebih sempurna,” ujarnya.
Ketua Menteri berkata, peranan kaum Cina dalam pembangunan ekonomi dan politik di negeri ini sukar dinafi.
Katanya, kebolehan kaum Cina dalam bidang ekonomi dan perniagaan dibukti menerusi ketajaman fikiran, wawasan dan ketekunan menjadikan mereka berada di barisan hadapan dalam bidang tersebut.
“Perniagaan dan industri menyediakan ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat dan membawa hasil kepada negeri menerusi cukai,” katanya.
Dalam perutusan itu, Adenan turut menyatakan tidak banyak tempat seperti Sarawak apabila rakyatnya dapat hidup aman dan damai meskipun terdapat kepelbagaian dalam banyak perkara.
“Itu tidak pernah menjadi halangan kepada perpaduan di Bumi Kenyalang ini. Kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat tetapi tiada perkara tidak boleh kita selesai.
“Ia selesai jika kita menghormati pendapat antara satu sama lain dan mencari langkah penyelesaian masalah dengan baik di kalangan kita.
“Saya amat berharap semangat perpaduan tinggi ini harus kita banggakan sebagai rakyat Sarawak dan terus dikekal demi kebaikan kepada negeri ini,” tegasnya.
Malah, katanya, apabila mengambil alih pucuk kepimpinan negeri ini beliau menyatakan beliau Ketua Menteri kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan dan perbezaan politik.
Katanya, beliau Ketua Menteri kepada Melayu, Iban, Cina, Bidayuh atau Orang Ulu.
“Ketua Menteri Sarawak akan menjaga kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan semua rakyatnya.
“Sambutan Tahun Baharu Cina ini merupakan sebahagian kepelbagaian budaya kita di Sarawak sama seperti sambutan keagamaan dan perayaan lain.
“Nenek-moyang rakan kita kaum Cina membawa tradisi dan budaya ini dari China sejak bertahun lalu dan mungkin moyang mereka dipanggil pendatang, tetapi bukan anda yang merupakan rakyat Sarawak kaum Cina kini,” katanya.
Jelas Adenan, kaum Cina tidak boleh dipanggil pendatang malah beliau telah berkali-kali menegaskan, Sarawak tempat tinggal mereka sama seperti rakyat Sarawak lain.
Menyedari kepentingan pendidikan kepada kaum Cina, katanya, beliau akan terus memberi bantuan kewangan kepada sekolah persendirian Cina pada tahun ini, yang mana sebelum ini kerajaan negeri telah memperuntuk RM7 juta kepada sekolah persendirian Cina di Sarawak. -Utusan Borneo

Post a Comment