Pembangunan hari ini hasil urus tadbir pemimpin terdahulu, kata Taib

SUMBANGAN RAYA: Toh Puan Ragad (tiga kiri), Tun Taib menyerahkan duit raya kepada anak-anak yatim sambil disaksikan Awang Tengah (tiga kanan), Nansian (dua kanan) dan Hasbi (kanan).

LIMBANG: Generasi muda di negeri ini bakal menikmati pelbagai pembangunan dikecapi Sarawak hasil pentadbiran pemimpin terdahulu, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, rakyat tanpa mengira kaum menikmati pembahagian ekonomi sama rata hasil kekayaaan dinikmati negeri ini.

“Apabila bersara jadi Ketua Menteri ketakutan mengenai masa depan Sarawak hilang. Ini kerana kita dapat melihat Sarawak menikmati pelbagai pembangunan sejak dulu sehingga kini hasil pentadbiran pemimpin terdahulu dan sekarang,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Limbang semalam.

Turut sama ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan isteri Elsi Marlisa Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Awang Daud, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang serta Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, ketua jabatan kerajaan dan ketua masyarakat.

Tun Taib menjelaskan, kerajaan negeri memberi perhatian tinggi terhadap usaha membina bangsa bersatu selain memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

“Rakyat juga sudah mengenal erti kemajuan dan menyertai usaha untuk membawa kemajuan demi memastikan masa depan Sarawak terus cerah,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis yang sama Awang Tengah berkata beberapa projek pembangunan dirancang untuk dilaksana tahun ini akan diterus dan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Antaranya projek pembinaan jambatan kedua menyeberangi Sungai Limbang bermula pembinaannya hujung tahun ini. Projek pembesaran kampung berhampiran IPD Limbang, cadangan membina kompleks beli-belah rangkaian Mydin di sini, kompleks dan pejabat kerajaan serta beberapa projek lain,” ujarnya.

Awang Tengah turut menyifatkan Tun Taib sebagai bapa pembangunan dan perpaduan yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kejayaan dalam menyatupadukan rakyat Sarawak.

“Selain itu Tun Pehin Sri Abdul Taib juga arkitek yang banyak merancang pembangunan sekali gus membawa tranformasi terhadap kemajuan dan pencapaian besar yang dinikmati rakyat,” jelasnya.

Sarawak menurut beliau, sudah melalui pelbagai tranformasi bukan sahaja daripada aspek infrastruktur, tetapi juga dalam bidang ekonomi dan mengangkat bidang perindustrian yang semuanya bermula daripada dasar pemerintahan Tun Taib.

Katanya Tun Taib berperanan mengangkat aspek sumber manusia dengan menubuhkan TERAS bagi mempromosikan pendidikan teknikal dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir pada masa depan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget