BAU: Orang ramai dinasihati agar tidak mudah terperdaya dengan apa sahaja berita atau khabar angin disebar melalui media sosial khasnya yang belum disahkan kesahihan serta tidak diketahui sumbernya.
Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, tindakan mempercayai sesebuah khabar angin yang disebarkan meluas secara membuta tuli boleh menggugat ketenteraman awam jika dibiarkan terus berlaku.
“Kita sebagai rakyat yang bijak harus fikirkan dulu sama ada sesuatu khabar angin itu betul atau tidak sebelum kita sebarkan kepada kawan-kawan lain dan menjadikannya viral (tersebar luas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku di sini, semalam.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh turut menyeru orang ramai khasnya pengguna media sosial untuk mengesahkan berita atau mendapatkan sumber berita daripada mereka yang arif.
Beliau turut menjadikan contoh insiden di Plaza Low Yat di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu berlaku apabila beberapa individu tidak bertanggungjawab menyebar maklumat gambar tidak betul dan akhirnya mencetus keadaan huru-hara.
“Adakah kita ingin melihat perkara seperti ini terus berlaku? Sudah tentu jawapannya tidak,” katanya.
Beliau menambah, oleh itu kerajaan sering memberi nasihat supaya jangan mudah percaya dengan apa yang dipaparkan dalam media baharu.
“Bukan semuanya baik, walapun banyak yang lebih baik jika kita pandai mengguna dan menilainya,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment