Awasi kemunculan ‘pendekar kedai kopi’ menjelang PRN: Dr Rayong


ENGKILILI: Awas perangkap ‘pendekar kedai kopi’ kerana mereka kini ada di mana-mana dengan pelbagai dakyah songsang untuk memerangkap pengundi.

Golongan itu muncul kembali memandangkan pilihan raya semakin dekat dengan niat mereka tidak sukar ditafsir dan mereka ibarat jaguh kampung dengan agenda peribadi masing-masing.

“Sehubungan itu, tolak mereka demi kepentingan masa depan diri dan negeri ini agar tidak tergadai oleh golongan pendekar tidak diiktiraf itu,” Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kunjungan Hari Raya di Kampung Melayu Engkilili di Engkilili semalam.

Tambahnya, rakyat khususnya pengundi harus sentiasa bersama Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti mengambil berat dan cukup prihatin dengan keperluan mendesak rakyat ketika ini.

Katanya bukan rahsia lagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat menitikberatkan rakyat khasnya penduduk luar bandar yang masih ketinggalan berbanding penduduk di bandar.

“Buktinya semasa sidang DUN lepas beliau mengumumkan telah memohon sejumlah RM500 juta daripada kerajaan pusat khusus untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di luar bandar seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya sambil menambah, pengundi harus berterima kasih kepada Ketua Menteri dengan memberi mandat kukuh untuk membolehkan beliau mentadbir negeri ini untuk penggal seterusnya.

“Kita harus ingat sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dua tahun lalu, terlalu banyak pencapaian cemerlang dilakar Adenan antaranya memerangi pembalakan haram, menurunkan tarif elektrik untuk pengguna domestik dan perniagaan selain menghapuskan tol,” katanya.

Dr Rayong berkata Adenan kini sedang berusaha meningkatkan royalti minyak dan gas negeri ini daripada lima kepada 20 peratus.

“Sehubungan itu, beliau mahu pengundi sedar siapa yang banyak berjasa kepada mereka kerana orang yang pandai bercakap sahaja tidak sama dengan mereka yang pandai bercakap disusuli tindakan seperti Adenan,” katanya.

“Kita harus ingat…tiada BN, tiada kerajaan dan sudah pasti tiada pembangunan kerana hanya BN sahaja yang dapat menyalurkan semua.

“Para pendekar kedai kopi khususnya daripada pembangkang memang boleh bercakap dan mencari penyakit rakyat tapi tidak ada penawar berbanding BN yang bukan sahaja bijak mencari malah mampu merawatnya,” katanya.

Berkenaan parti, beliau menegaskan bahawa Parti Rakyat Bersatu (UPP) adalah salah satu daripada parti tulang belakang BN bersama PBB, PRS, SPDP, SUPP selain TERAS.

“Ia dicapai menerusi konsep BN-Plus sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri pada 4 Jun lalu,” katanya sambil menambah bahawa beliau kekal mempertahankan konstituensi Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Dua hari lepas, Adenan sudah mengumumkan Sylvester Entri kekal mempertahankan DUN Marudi…bermakna TERAS adalah sebahagian BN,” katanya.

Mengenai rumah terbuka ini, beliau berharap agar ia dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia medan terbaik untuk mempromosikan perpaduan berlandaskan konsep 1Malaysia.

“Sekalipun anda golongan minoriti di sini…namun keperluan dan masalah anda tidak pernah diabaikan,” katanya.

Pada majlis sama Dr Rayong mengumumkan pemberian geran berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keslamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Engkilili sebagai dana penganjuran aktiviti mereka.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget