PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digesa supaya tidak takut untuk bersuara dalam isu 1MDB demi kepentingan rakyat dan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jika sayangkan negara, Ahli Parlimen BN perlu mendengar suara rakyat yang mahukan kebenaran mengenai skandal 1MDB.
“Janganlah berdiam diri di dalam isu 1MDB ini. Janganlah takut, kerana rakyat pasti akan bersama kita di dalam menegakkan kebenaran,” katanya menerusi kenyataan media.
Dalam masa sama, Presiden PKR itu berkata, pihaknya memandang serius tangkapan yang dibuat Polis Diraja Malaysia terhadap seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta seorang pegawai Jabatan Peguam Negara.
Siri tangkapan itu kelihatan seperti amaran berbaur ugutan kepada SPRM, yang merupakan salah satu agensi kerajaan yang terlibat di dalam pasukan siasatan khas terhadap isu skandal kewangan 1MDB, katanya.
“Kesemua agensi kerajaan yang terlibat di dalam siasatan terhadap 1MDB wajib diberi ruang dan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan siasatan tersebut.
“Agensi-agensi ini tidak patut diganggu, dan sebarang penukaran petugas atau tangkapan seperti yang berlaku hanya menimbulkan syak wasangka dan keraguan tentang kebebasan jawatan kuasa tersebut untuk melakukan siasatan,” katanya.
- Free Malaysia Today
Post a Comment