'DAP tak pernah terima satu sen pun dana asing'



Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendakwa bahawa parti itu tidak pernah menerima satu sen pun dana asing sejak penubuhannya.

Beliau menegaskan demikian selepas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan jumlah dana asing yang diterima oleh Umno dan BN semasa kempen pilihan raya umum lepas.

"DAP tidak pernah menerima satu sen pun dana asing sejak lima dekad perjuangan politik kami untuk demokrasi dan keadilan di Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, jika DAP telah menerima hanya satu ringgit pun dana asing, mereka akan dituduh sebagai ejen dan alat kuasa asing.

Menurut Lim lagi, Najib menerima RM2.6 bilion dana asing untuk pilihan raya umum lepas.

Selain Najib, Lim juga mahu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan berapa banyak dana asing yang mereka terima bagi pihak BN bagi setiap pilihan raya umum dari 1982 hingga 2008.

Beliau berkata Najib telah kehilangan "moral kepimpinan" untuk bercakap mengenai ketelusan dan akauntabiliti pembiayaan dana politik selagi beliau tidak bersedia untuk berterus terang tentang RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Jumaat lalu, Najib mengumumkan cadangan baru untuk mengawal selia dana politik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana menteri berkata terdapat keperluan segera untuk mengawal selia pembiayaan politik bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan demi kepentingan amalan politik yang sihat.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget