MARUDI: Datuk Sylvester Entri Muran kekal calon bagi kerusi N.66 Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana beliau adalah calon boleh menang untuk Marudi, umum Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Adenan yang mengumumkan perkara itu di hadapan 3,000 penduduk di sini berkata, sejarah Entri yang menang dan bertanding pada PRN 1996, 2001, 2006 dan 2011 menjadi bukti beliau calon boleh menang.
“Oleh itu, rakyat di sini harus mengekalkan sokongan kepada beliau pada PRN tidak lama lagi.
“Kita harus bersama-sama Barisan Nasional (BN) kerana banyak perkara yang kita belum capai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Baram di sini, semalam.
Ketua Menteri menambah, sejak beliau menerajui kerajaan Mac tahun lalu banyak yang sudah diselesaikannya.
Katanya empat perkara tersebut ialah menurunkan tarif elektrik, menurunkan caj feri, memansuh tol di dua jambatan sudah selesai manakala satu jambatan masih dalam perbincangan serta membanteras balak haram.
Mengenai kelapa sawit pula, syarikat dari Semananjung Malaysia mahupun dari Sarawak tidak dibenarkan beroperasi kecuali SALCRA, FELCRA dan FELDA.
Justeru Adenan mahu rakyat memberinya masa lima tahun lagi untuk memerintah kerana kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa Sarawak boleh mencapai status negeri maju.
Pada majlis tersebut, Adenan turut menyampaikan duit raya kepada 18 anak yatim piatu.
Majlis diserikan dengan beliau dan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu mempersembahkan lagu raya.
Antara penyanyi yang diundang khas ialah Karim Openg dan Ricky Andrewson .
Hadir sama Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta isteri Datin Amar Fatimah Iskandar, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri Antonio Kathi Galis serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie dan Dr Richard Wil Uban.
- Borneo Post Online
Post a Comment