Teo Nie Ching dilarang masuk Sarawak


Ahli Parlimen (MP) DAP Teo Nie Ching merupakan yang terbaru dalam senarai ahli politik pembangkang yang dilarang memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri.

Ini mengikut MP DAP Rasah, Teo Kok Seong, yang menaiki penerbangan yang sama dengan MP Kulai itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 5.10 petang.

"Kami tiba di Bintulu oleh jam 7.30 malam dan beliau dihantar pulang dengan penerbangan berikutnya ke Kuala Lumpur pada jam 7.50 malam," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, Nie Ching duduk dua baris di depannya dan keluar dahulu.

"Saya keluar kemudian dan menghantar SMS pada jam 7.45 malam, bertanyakan di mana dia berada.

"Dia menjawab, 'saya di pejabat imigresen'," katanya.

Walaupun selepas Kok Seong selesai melalui pemeriksaan imigresen, namun Nie Ching masih tidak kelihatan.

Selepas itu, Kok Seong, bersama dengan ADUN DAP Kidurong, Chiew Chin Sing yang berada di sana untuk mengambil mereka, pergi bertanya kepada pegawai imigresen apa yang telah berlaku kepada Nie Ching.

"Imigresen berkata Nie Ching dalam senarai hitam dan mereka hanya bertindak mengikut senarai tersebut," kata Kok Seong.

Mereka adalah antara kumpulan pertama pemimpin DAP yang tiba di Bintulu untuk menghadiri majlis makan malam mengutip dana esok, menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada 11 April, untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Kok Seong mencabar Adenan mengeluarkan senarai penuh ahli Parlimen pembangkang yang telah disenarai hitam kerana ramai yang kini terbang ke Sarawak tanpa mengetahui jika mereka akan dihantar pulang semasa ketibaan.- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget