Ia bagi membolehkan kerajaan BN terus diberi mandat terajui pentadbiran negeri untuk lima tahun lagi
KANOWIT: Undi masyarakat Cina sangat penting meskipun mereka adalah kaum minoriti di daerah ini bagi menentukan nasib kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini.
Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna berkata ini penting bagi membolehkan kerajaan BN terus diberi mandat menerajui pentadbiran negeri untuk lima tahun lagi.
“Undi masyarakat Cina juga adalah penentu kepada pembangunan luar bandar sekali gus memastikan peruntukan RM5 juta bagi setiap konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk pembangunan bersama pengundi Iban.
“Justeru, sokongan padu mereka amat diperlukan bagi membantu membentuk kerajaan BN,” ujarnya semasa berucap ketika mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman Kapitan Lee Foh Sin di Sungai Pedai Hulu, Isnin lepas.
Turut mengiringinya ialah isteri Gramong iaitu Datuk Catherine Gramong, ADUN Ngemah Alexander Vincent berserta isteri Susan Clement, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, calon BN bagi kerusi DUN Machan Allan Siden Gramong serta ketua-ketua masyarakat yang lain.
Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap ADUN Machan melahirkan rasa keyakinannya bahawa BN mampu menang pada PRN 2016.
“Jika kita bersatu padu, tiada yang mustahil bagi BN di kerusi DUN Machan mahupun DUN Ngemah. Justeru, dua calon kita iaitu Alexander dan Allan adalah tunjang kekuatan BN di daerah ini.
“Oleh itu, berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka untuk meneruskan pembangunan di daerah kita ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata masyarakat di daerah itu turut menerapkan semangat kunjung mengunjung pada setiap perayaan bukan sahaja pada musim Tahun Baharu Cina.
“Kita boleh lihat pelbagai kaum dan agama di daerah ini saling kunjung mengunjung sekali gus satu platform untuk kita mempraktikkan semangat 1Malaysia,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Gramong turut memuji inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang banyak membawa pelbagai dasar baharu kepada negeri ini demi manfaat rakyatnya.
“Kerajaan negeri di bawah Adenan banyak membuatkan rakyat gembira dan senang dengan polisinya.
“Oleh itu, tiada alasan kenapa kita tidak menyokong Adenan pada PRN 2016 ini sekali gus menterjemahkan sokongan anda kepada Alexander dan Allan,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.