Kedaulatan, keselamatan Sarawak tetap diutamakan


KUCHING: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memastikan kekangan ekonomi yang dihadapi negara akibat ketidaktentuan ekonomi global tidak menjejaskan tugas utama kementerian menjamin kedaulatan dan keselamatan Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementeriannya juga akan memastikan aset-aset yang telah dirancang untuk Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) atau tahun 2016 tidak terjejas.

“Saya dapat berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem (tadi) dan saya telah mendapat persetujuan bahawa fokus yang dibawa oleh MINDEF selepas melakukan hala tuju 2016 di Genting baru-baru ini ialah pertama kita hendak memberi jaminan kepada rakyat dan negeri Sarawak setakat mana kita mampu pastikan kedaulatan, keselamatan dan maruah Sarawak juga rakyatnya akan terjamin.

“Ini akan saya umumkan dalam dua tiga hari ini kerana saya akan berada di Sarawak tiga hari dua malam, perancangan yang telah kita teliti di peringkat MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk Sarawak akan diambil kira, terutama kekangan ekonomi hari ini tidak akan menjejaskan ‘core business’ kita iaitu menjamin keselamatan Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia dekat sini, semalam.

Hishammuddin turut memberitahu media bahawa MINDEF akan memberi tumpuan kepada salah satu daripada lima teras utama kementerian iaitu kebajikan dan sosioekonomi anggota ATM, veteran, wataniah dan keluarga.

“Ini penting kerana mempunyai aset semata-mata tidak mencukupi jika semangat menurun atau anggota kita berada dalam keadaan tidak selesa.

“Kebajikan dan sosioekonomi merupakan teras yang telah dikenal pasti merangkumi usaha memastikan pendidikan anak-anak anggota dengan memastikan keselesaan anak-anak ke sekolah iaitu menggunakan bas bukan lagi trak tiga tan,” ujarnya.

Selain itu katanya, MINDEF akan menambah baik kemudahan perumahan tentera dengan menaik taraf kem-kem tentera supaya secara telus menunjukkan kerajaan serius membela dan memastikan kebajikan sosioekonomi anggota, veteran, wataniah dan keluara masing-masing diambil kira walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

“Kos sara hidup mesti diambil kira, isu-isu berkaitan kos harian mereka mesti diambil kira, kalau kita hendakkan mereka melaksanakan tanggungjawab yang dipikul bersungguh-sungguh dengan keringat, air mata dan darah, kita (kerajaan) juga mesti bersungguh-sungguh memastikan kebajikan mereka terbela,” jelasnya.

Mengenai Majlis Pemakaian Pangkat itu Hishammuddin berkata kesudian Ketua Menteri menerima pingat itu membawa makna dan penghormatan yang amat mendalam kepada ATM dan MINDEF.

“Ini menunjukkan keseriusan, kesungguhan dan hubungan antara kepimpinan tertinggi di Sarawak dengan kita di MINDEF dan ATM.

“Jadi saya tengok majlis ini membawa erti serta makna yang amat mendalam dan amat bersejarah.

“Saya tengok Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri) sangat senang hati menerimanya,” katanya.

Hishammuddin juga percaya dengan pemakaian pangkat Brigedier Jenenal (Kehormat) itu, ia akan meningkatkan lagi populariti Adenan dalam kalangan rakyat Sarawak khasnya.

“Sudah semestinya saya tengok Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri) cukup popular di Sarawak, ini realiti dan tiada siapa dapat menafikannya.

“Saya tengok popularitinya bersandarkan kepada kewibawaan kepimpinannya.

“Penerimaan bukan sahaja daripada golongan orang dewasa tetapi golongan muda juga. Jadi sebagai ikon yang telah menerima pangkat hari ini, saya tengok ia boleh membawa daya tarikan kepada rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi apabila kita memberi jaminan bahawa ini bukan satu simbolik, secara peribadi saya ingin Yang Amat Berhormat bersama-sama kita dan dianggap satu keluarga besar MINDEF dan ATM,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohd Dalib Basir.

- Borneo Post Online

Post a Comment

blogger
facebook

Emoticon
:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget