SPDP siapkan jentera parti hadapi PRN


SUNGAI BAKAS, BAKONG: Jentera Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sahaja bagi kawasan pilihan raya parti tetapi kawasan lain daripada Barisan Nasional (BN).

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing sehubungan itu menggesa ahli parti komponen BN agar datang beramai-ramai dan menyokong calon mereka dalam semua kawasan pilihan raya di seluruh negeri.

“SPDP sentiasa bersedia dan tidak sabar untuk pilihan raya. Kami akan berusaha memberi sokongan penuh bukan sahaja kepada calon SPDP, tetapi untuk calon lain daripada parti komponen BN,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Benang Pilang di Sungai Bakas, Bakong kelmarin.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Baram mengulas cadangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Jumaat lalu untuk mengadakan PRN Ke-11 pada 30 April akan datang.

Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak turut mencadangkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon.

Dalam konteks ini, Tiong mahu semua ahli parti komponen BN memberi sokongan sepenuh hati terhadap SPDP.

Terdahulu, Tiong dalam ucapannya berkata SPDP mampu mengekalkan kerusi Marudi dengan kemenangan majoriti dalam PRN akan datang.

“Parti yakin dengan calon baharu iaitu Datu Dr Penguang Manggil untuk mengekalkan kerusi SPDP sekali gus membawa kemenangan besar kepada BN,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau memberi geran sebanyak RM55,000 kepada Rumah Benang Pilang dan RM5,000 lagi untuk kumpulan wanita rumah panjang tersebut.

Kira-kira 4,500 penyokong dan pengundi termasuk 61 tuai rumah dari Marudi, Bakong dan Tinjar memenuhi rumah panjang tersebut untuk sesi dialog bersama Tiong dan Penguang.

Pada majlis yang sama Tiong turut menerima 508 keahlian baharu untuk menyertai SPDP yang disampaikan oleh Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu.

Hadir sama wakil parti komponen BN – Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget