Hanya 300 orang dengar ceramah DAP di Sibu


SIBU: Ceramah Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Jalan Chew Siik Hiong pada malam kelmarin telah mencatat rekod kehadiran yang paling rendah apabila hanya kira-kira 300 orang hadir.

Ia diadakan sempena pelancaran lori ‘Ubah Machine-Transformer’ yang direka khas untuk menjadi pentas dan boleh bergerak ke mana-mana bagi kegunaan parti itu berkempen di lokasi tertentu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini.

Ceramah pada malam itu dilihat gagal menghimpunkan penyokong DAP dan ia diadakan selama tiga jam bermula jam 7 malam.

DAP yang pertama kalinya menganjurkan ceramah itu pada tahun ini mungkin disebabkan PRN yang sudah dekat menerima sambutan yang agak dingin.

Lapan penceramahnya ialah Pembantu Khas Ahli Parlimen Lanang Alice Lau iaitu Christine Lim, Ketua Pemuda DAP Stanley Chew, Alice, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Leong, ADUN Pelawan David Wong, Ketua Wanita DAP Irene Chang dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Pada kempen PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, ceramah politik dianjur DAP sering dihadiri hingga puluhan ribu hadirin namun tidak kali ini.

Beberapa alasan mengaitkan tidak ramai hadir pada ceramah itu merupakan masyarakat Cina kini sedang sibuk untuk membuat persediaan Tahun Baharu Cina atau sedang sibuk membeli-belah.

“Tetapi, apa hal kali ini. Biasanya setiap ceramah politik DAP masyarakat Sibu akan datang beramai-ramai namun agak pelik kali ini.

“Sambutan sangat suram tidak seperti ceramah sebelum ini. Adakah senario politik sudah berubah?,” ujar seorang hadirin bertanya kepada pemberita.

Juruacara program Paul Ling memberitahu, program itu bukan satu kempen pilihan raya tetapi perhimpunan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang diadakan bersama pelancaran pentas bergerak DAP itu.

Katanya jelajah lori ubah itu telah bermula di Kuching pada Khamis lalu sebelum mereka ke Sarikei pada hari Jumaat.

Selepas pelancarannya di Sibu, beliau berkata lori ubah akan bergerak ke Bintulu dan Miri.

Antara topik ceramah politik DAP pada malam itu adalah menyentuh mengenai isu-isu kerajaan persekutuan, termasuk mereka yang dalam siasatan dana 1MDB sebanyak RM2.6 bilion, dasar pendidikan, dana pendidikan JPA untuk pelajar yang memerlukan, GST, rasuah dan lain-lain.

Hanya Irene Chang sahaja yang tidak menyentuh mengenai politik.

Beliau menyeru orang ramai untuk berbelanja secara berhemah semasa musim perayaan ini dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu ketika ini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget