MIRI – Kegiatan perjudian siber dan lain-lain bentuk perjudian semakin menular sekiranya tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa khususnya pihak keselamatan dalam negeri.
Judi boleh membuatkan seseorang itu ketagih. Ia juga membuatkan seseorang lupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarganya akibat suka berjudi. Ianya juga membawa masalah sosial kepada masyarakat. Bukan sedikit masalah yang berlaku akibat dari kegilaan terhadap perjudian ini sehingga kehidupan penagih judi ini hidup melarat dan tidak terurus.
Berapa ramai keluarga menjadi berantakan akibat dari bapa yang kalah judi sehingga sanggup merompak harta isteri dan anak-anak sendiri. Bukan sedikit kes ragut, bunuh dari kaki judi yang terpaksa mengambil jalan mudah dengan melakukan jenayah untuk mendapatkan duit untuk dilaburkan ke meja judi.
Judi bukan saja boleh merosakan hubungan kekeluargaan tapi ianya boleh merosakkan masa depan remaja terutama sekali mereka yang suka melepak di pusat perjudian.
Dalam Al Quran sendiri ada menjelaskan bahawa judi itu adalah sesuatu yang haram. Haram bermaksud perkara yang dilakukan pasti membawa kesan keburukan didalam kehidupan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah: 219 “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah 2:219)
Kita mengesa pihak kerajaan mengharamkan terus apa saja bentuk perjudian dalam negara ini agar rakyat tidak hidup dalam khayalan semata-mata ingin mendapat kekayaan sekelip mata tanpa bekerja keras untuk menyara kehidupan diri dan keluarga mereka. Judi juga boleh membebankan kehidupan serta menyebabkan kaki judi menanggung hutang yang berpanjangan sekiranya mereka kalah dalam perjudian.
Pihak kerajaan sepatutnya mengharamkan semua bentuk kegiatan perjudian dengan tidak memberi sebarang lesen kepada mana-mana premis kerana ianya lebih banyak memberi kerosakan dari kebaikan kepada masyarakat.
Kejayaan pihak Polis di bandaraya Miri memerangi habis-habisan sarang kegiatan perjudian siber amat dihargai. Kita yakin sekiranya perkara ini terus dibanteras dari awal ianya boleh membendung kegiatan perjudian siber secara berleluasan terutama dikalangan remaja dan juga orang dewasa yang kaki judi sebagai kegiatan mereka.
Pihak Polis juga perlu memperhebatkan operasi terhadap aktiviti-aktiviti perjudian di bandaraya ini dari terus merebak terutama judi dalam bentuk siber. Kita mahu menjadikan bandaraya Miri betul-betul bebas dari sebarang bentuk pusat perjudian.
Negara dan rakyat akan aman dan selamat tanpa judi. Judi boleh merosakkan masa depan anak-anak muda dan juga generasi akan datang. Mencegah lebih baik dari mengubati kalau bukan sekarang bila?
Jofri Jaraiee
PAS Sarawak
-PAS.ORG.MY
Post a Comment