MIRI: Kerajaan negeri membangunkan Pantai Tusan di Bekenu sebagai salah satu tarikan pelancongan dan rekrasi di utara Sarawak.
Menteri Muda Pembangunan Keluarga dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata kawasan tersebut dibangunkan dengan kemudahan asas seperti yang terdapat di Pantai Bungai di Bekenu.
“Tarikan utama terdapat di Pantai Tusan tidak terdapat di tempat lain iaitu keunikan pembentukan batu yang terhasil daripada hakisan ombak.
“Tidak ramai sedar dengan keindahan geologi di sepanjang Pantai ini. Namun, selepas fenomena air mata biru tahu lalu, Pantai Tusan terus menggamit pelawat termasuk dari negara jiran,” katanya semasa merasmikan aktiviti gotong-royong anjuran Kampung Terahad dan Kampung Angus di Pantai Tusan di sini, kelmarin.
Berikutan fenomena itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu dengan kerjasama Majlis Daerah Subis (MDS) memeriksa tapak sesuai sepanjang pantai itu untuk mendirikan kemudahan keselamatan.
“Saya sudah memaklumkan MDS tentang pemasangan pemegang keselamatan di kawasan pantai yang curam, tangga untuk menuruni kawasan berbukit dan lampu jalan,” katanya.
Selain itu, tandas awam untuk kemudahan pelawat juga dibina.
Dalam pada itu, Rosey memuji komitmen penduduk kedua-dua kampung yang sanggup meluangkan masa bergotong-royong mendirikan tandas awam di situ. - Utusan Borneo.
Post a Comment