Susulan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah, PAS menyifatkan Umno sebagai parti yang mewujudkan acuan politik tidak beretika, lapor Sinar Harian hari ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, penggulingan Mukriz yang dibuat melalui akuan bersumpah akan menjadi ikutan pemimpin negeri yang lain.
"Bila tidak puas hati dengan pemimpin atau menteri besar sahaja, guna pintu belakang untuk singkirkan individu tersebut.
"Sepatutnya guna saluran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tahu suara rakyat.
"Saya tidak kata kaedah digunakan ahli DUN (Adun) di Kedah itu salah, tetapi ia kurang manis kerana melalui pintu belakang," beliau dipetik berkata kepada akhbar itu.
Tuan Ibrahim berkata, tidak hairan sekiranya kejadian seperti yang berlaku di Kedah berulang pada masa akan datang.
"Perkara sama pernah berlaku di Perak selepas kerajaan yang memerintah bertukar kepada Umno, Barisan Nasional (BN)," katanya lagi.
Sinar Harian memetik beliau berkata, kemelut politik di sesebuah negara hanya akan mengganggu urusan pentadbiran yang akhirnya menyusahkan rakyat.
"Disebabkan kepentingan politik individu, rakyat terpaksa menerima tempiasnya dan terpalit sama dalam krisis itu," katanya. - Minsider
Post a Comment