Parti politik pikat siswa melalui sesi futsal, teh tarik, projek komuniti


Menjelang pilihan raya umum dijangka akan diadakan dalam tempoh 2 tahun, parti politik pembangkang secara aktif mendekati pengundi baharu, terutama pelajar universiti dan kolej, walaupun ramai di antara mereka memilih menjadi pengundi atas pagar.

Cara yang digunakan berbeza-beza daripada sesi sembang santai antara pelajar dan pemimpin parti, kepada latihan 'internship', program kampus dengan kerjasama NGO dan projek komuniti, semuanya bertujuan membentuk minda anak muda apabila mereka mengundi pada pilihan raya akan datang.

Fahmi Zainol daripada PKR berkata, parti itu melalui Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) biasanya akan mengadakan program yang tidak bersifat politik, untuk menarik lebih ramai pelajar universiti menyertai mereka.

"Kami mengadakan program yang universal, semua orang boleh menyertainya dan tiada imej parti ditunjukkan, kerana program kami bukan saja mengenai politik.

"Sebagai contoh, pada masa ini kami sedang menjalankan kajian mengenai pinjaman Mara, jadi kami jemput beberapa individu yang tahu tentang Mara untuk menjadi sebahagian daripada kaji selidik itu dan bekerjasama dengan pelajar di universiti awam dan swasta.

"Dan ramai pelajar menyertainya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Walaupun jenama PKR tidak ditonjolkan pada program ini, Fahmi berkata, ahli parti yang muda dipilih menerajui program bagi membina kepercayaan di kalangan pelajar universiti.

"Kami menggunakan 2 kaedah: pergi bertemu dengan pelajar dan menggunakan media sosial mendekati mereka.

"Dalam kes saya, kadang-kadang mereka tidak melihat saya sebagai ahli PKR tetapi sebagai pelajar Universiti Malaya (UM).

"Dan walaupun kami tidak menggunakan nama PKR dalam program kami, mereka tahu ini ialah seorang pelajar UM yang juga ahli PKR," katanya.

Bagi parti Islam PAS pula, ia memastikan kandungan program bagi mereka yang cenderung kepada politik berbeza daripada program yang disesuaikan untuk mereka yang lain, kerana kumpulan ini mempunyai keperluan berbeza.

Naib Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu melalui sayap Pemuda akan mengadakan program yang berat seperti forum atau “sesi teh tarik” menampilkan pemimpin parti, di mana anak muda boleh bertanya soalan mengenai perkembangan semasa di negara ini.

"Mereka yang mengikuti perkembangan politik di negara ini mahu kami bersikap konstruktif, dan bukan menghentam, terhadap kerajaan.

"Sebab itulah, anak muda dalam PAS bersifat membina, bukan pelampau," katanya.

Beliau berkata sesi teh tarik parti itu kadang-kadang menghimpunkan lebih daripada 50 pelajar universiti yang berminat mendapatkan jawapan secara langsung daripada pemimpin parti.

Khairil berkata, mereka juga menganjurkan aktiviti yang tidak berkaitan politik, seperti pertandingan futsal dan permainan snooker, serta menubuhkan kelab-kelab seperti 'Alternative Riding Club'.

Pemuda DAP sementara itu, mempunyai 3 program utama disesuaikan untuk pelajar universiti - latihan 'internship', Sekolah Demokrasi dan Impian Malaysia.

Program internship DAP membolehkan pelajar terlibat dalam kerja-kerja politik dengan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu, kata Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti Pemuda DAP Leong Yu Sheng.

"Sekolah Demokrasi adalah bengkel 3 hari untuk belajar tentang demokrasi sosial dan ideologi politik yang lain, manakala Impian Malaysia adalah untuk pelajar yang ingin menyertai kerja-kerja sukarela untuk masyarakat dalam kesusahan," katanya.

Beliau berkata parti itu juga menganjurkan sesi teh tarik tidak formal antara pelajar dan pemimpin-pemimpin DAP dari semasa ke semasa.

Menurut Leong, sambutan terhadap program mereka adalah menggalakkan.

"Peserta sukakan program itu terutamanya latihan internship.

"Kebanyakan maklum balas daripada peserta ialah, program internship memberi peserta banyak pendedahan kepada isu-isu nasional."

Cabaran dalam usaha menyantuni pengundi muda

Pengharaman politik di universiti dan keengganan pelajar untuk dikaitkan dengan mana-mana parti politik adalah antara cabaran dihadapi parti politik dalam usaha menarik anak muda yang akan mengundi buat kali pertama.

"Kita tidak boleh menafikan, apabila saya dalam sebuah organisasi politik, sukar untuk rapat dengan golongan muda khususnya pelajar, kerana sebahagian daripada mereka takut dilihat sebagai pro-pembangkang.

"Terutamanya mereka takut keistimewaan yang mereka nikmati akan ditarik balik," kata Fahmi, sambil menambah, apa-apa faedah termasuk biasiswa atau kebenaran tinggal di kolej akan terjejas.

"Oleh itu, kami beritahu mereka, dengan menyertai program kami tidak bermakna mereka mendaftar sebagai bakal ahli parti.

"Tidak perlu jadi ahli PKR, kami beritahu mereka; kami tidak galakkan pun mereka menyertai PKR, asalkan kami boleh membentuk cara mereka berfikir dalam memutuskan apa yang betul atau salah.

"Jika mereka menyertai kami, ia satu bonus," katanya.

Khairil bersetuju, aspek yang paling penting dan sebab mereka mengadakan program-program itu untuk pelajar ialah bagi mempengaruhi pemikiran mereka.

"Pada kesudahannya, bukan logo yang memainkan peranan paling penting, tetapi hujah-hujahnya. Misalnya, mereka tahu apa jenis hujah yang akan dibuat Pemuda PAS, iaitu yang selaras dengan Islam.

"Bagi kami, kami mahu semua pelajar di Malaysia menjadi celik politik dan kami mahu mereka memilih PAS apabila tiba masa mengundi."

Beliau berkata, parti Islam itu menyokong pergerakan pelajar seperti Gabungan Mahasiswa Semenanjung, yang lebih cenderung kepada Islam.

Leong berkata, takut kepada DAP adalah antara halangan yang dialami parti itu dalam usaha menarik lebih ramai pelajar universiti.

"Kami tidak dapat masuk ke dalam kampus untuk mempromosikan acara-acara kami kerana campur tangan kerajaan yang ketat, terutamanya di universiti awam.

"Kedua, propaganda anti-DAP disebarkan Umno dan jentera media mereka di kalangan masyarakat Melayu menakutkan para peserta daripada menyertai aktiviti kami," katanya.

Beliau bagaimanapun menambah, jika sekiranya pilihan raya diadakan di kampus, beliau yakin DAP akan dapat menewaskan Umno.

Beliau berkata, lebih mudah mendekati pelajar yang percaya kepada kebebasan, keadilan dan perpaduan.

PAS yakin dengan pemimpin masa depannya, kata Khairil, sambil menambah bilangan pelajar yang menyertai parti itu masih mantap.

Beliau berkata PAS tidak kekurangan kepimpinan kerana pelajar yang menyertai mereka akan diserap ke pelbagai peringkat dalam parti, dari Pusat ke cawangan.

"Semuanya dengan kuasa Tuhan. Allah membuka hati orang-orang muda ini, terutamanya pemimpin pelajar, untuk menyertai kami," katanya, apabila ditanya bagaimana mereka meyakinkan pelajar untuk menyertai PAS.

"Kami tidak perlu melabur wang, mereka datang kepada kami. Dan keduanya, adalah kerana program kami, seperti akademi kepimpinan belia, di mana mereka diajar modul kepimpinan," katanya.-The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget