MIRI: Kerajaan negeri semalam mengemukakan jemputan kepada kerajaan pusat menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai agar datang ke sini dan melihat kesesakan di Lapangan Terbang Miri (LTM).
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata selain beberapa pembangunan tambahan sedang dilaksanakan, LTM wajar dinaik taraf di beberapa bahagian sebagai persediaannya menjadi sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa pada masa depan.
“Sempena meraikan siapnya projek pembinaan tambahan di LTM, saya dan kerajaan negeri menjemput Menteri Pengangkutan datang merasmikannya dan kita mahu beliau melihat sendiri keadaan di LTM lebih-lebih lagi ketika berdepan kesesakan,” katanya.
Lee memberitahu, tahun lalu LTM menerima kemasukan seramai 2.25 juta penumpang sedangkan kapasiti lapangan terbang itu hanya mampu menampung dua juta orang sahaja.
“Biar beliau (Liow) melihat sendiri dan mengenal pasti bahagian perlu dinaik taraf atau diperbaiki,” katanya di sini, semalam selepas menghadiri taklimat perkembangan terkini pembinaan tambahan LTM.
Taklimat tersebut disampaikan pemaju di samping Malaysia Airports Sdn Bhd (Malaysia Airport), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.
Selain itu, Lee menggesa Malaysia Airport mengkaji semula sistem perparitan di sekeliling LTM kerana pada masa ini semua aliran keluar air dari sistem perparitannya menghala ke kawasan perumahan dan kediaman sekitar.
“Perkara ini boleh menjadi serius jika tidak ditangani awal dan kali ini saya mahu Malaysia Airport melakukan naik taraf untuk memenuhi keperluan jangka panjang dan bukan dibuat sekerat jalan sahaja.
“Kerana pada masa depan kita merancang membina sambungan landasan lebih lebar dan panjang bagi menampung keperluan pesawat besar.
“Hanya dengan itu baharulah kita dapat menaik taraf LTM menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa,” jelas Lee.
Mengenai projek pembinaan tambahan di LTM, beliau dimaklumkan bahawa ia merangkumi dua bahagian iaitu sayap selatan dan sayap utara.
Sayap selatan menyaksikan penambahan untuk sembilan tempat parkir pesawat jenis ATR dan empat lagi untuk pesawat Twin Otter.
Manakala sayap utara menyaksikan penambahan empat kawasan parkir untuk pesawat Boeing 747 dan Airbus A320 (masing-masingnya dua).
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari ini manakala pemeriksaan akhir dilakukan DCA pada 23 Februari.
Jika diluluskan, lokasi baharu boleh beroperasi pada 29 Februari atau 1 Mac dan dirasmikan oleh Liow.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.