BINTULU: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah melaksana 50 keputusan dan dasar untuk mengurangkan beban kos sara hidup penduduk negeri ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) merangkap Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais berkata, antara dasar dilaksana adalah pemansuhan tol membabitkan tiga jambatan, tambahan bantuan RM50 bagi penerima kebajikan, pengurangan caj feri kepada RM1 dan mengurangkan tarif elektrik.
Katanya banyak lagi keputusan dibuat untuk menangani kos sara hidup rakyat di negeri ini sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban kos, mengawal harga barang dan memantau aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di Farley Hypermarket, Medan Jaya di sini, semalam.
Ujarnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setiap tahun mengadakan kempen skim kawalan harga pada setiap tahun di seluruh negara termasuk Sarawak.
“Tidak hanya skim kawalan harga untuk perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) malah Hari Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri, program diskaun kembali ke sekolah, subsidi barang terkawal dan pemantauan sepanjang tahun berkaitan harga, cetak rompak, penyeludupan dan sebagainya turut dilaksana,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment