Adenan enggan mengulas spekulasi pengunduran Jabu


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi sama ada Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berundur atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu, perkara itu harus diajukan sendiri kepada Jabu untuk mendapatkan kesahihannya.

“Saya tidak tahu… anda (pemberita) boleh bertanya kepada beliau (Jabu) sendiri,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.1 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Jabu yang juga timbalan presiden PBB akan berundur pada PRN Ke-11.

Sebelum ini akhbar menyiarkan bahawa Jabu berkemungkinan antara pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berkemungkinan berundur pada PRN 2016.

Kemungkinan bertambah kuat apabila ADUN Layar itu dilihat saling berpelukan dengan pemimpin PBB yang lain selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di ibu pejabat PBB baru-baru ini.

Bagaimanapun Jabu ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan menafikan spekulasi tersebut dan meminta semua pihak tidak mempercayai spekulasi itu.

“Kami berpelukan bukan kerana saya akan berundur tetapi meraikan kejayaan dan komitmen PBB dalam Barisan Nasional (BN) dan ia adalah hari jadi saya,” jelas Jabu sebagai menafikan spekulasi itu.

ADUN sembilan penggal bagi kerusi Dayak di Layar itu bermula pada 1973 ketika berusia 33 tahun, selepas memenangi kerusi Engkilili tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil.

Jabu beralih ke kerusi Layar di kampung halamannya di Betong, kira-kira 255 km dari Kuching, pada PRN 1974 dan menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak itu.

Pada pilihan raya 2011, Jabu yang berusia 75 tahun terlibat dalam pertarungan empat penjuru bagi penggal kesembilan di kerusinya dengan hanya lebih 8,000 pengundi.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget