Bidayuh yang membentuk 80 peratus pengundi mahu kerusi itu diberi kepada PBB
KUCHING: Serembu, sebuah kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak, wajar diberi kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Penganalisis Politik Datuk Peter Minos berkata ramai Bidayuh yang membentuk kira-kira 80 peratus pengundi di situ telah menyuarakan hasrat mereka agar kerusi tersebut diberikan kepada PBB.
“Saya juga mahu PBB mengambil Serembu dan berharap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan memberi kepada kita Bidayuh di Bau, terutama mereka di Serembu (Broih) dan Krokong yang terletak dalam kerusi Serembu, peluang agar kita berada dalam PBB.
“Penduduk di sana secara terbuka memberitahu mereka mahukan PBB,” katanya kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, ramai penduduk di kawasan berkenaan menaruh harapan dan berkeyakinan terhadap PBB, malah mereka tidak mempunyai perasaan sedemikian terhadap parti-parti lain.
Tambahnya, mereka mempunyai sebab munasabah untuk berfikiran dan berperasaan demikian. Adalah menyedihkan jika harapan dan keinginan mereka tidak diberi perhatian.
“Memang sukar bagi Ketua Menteri memenuhi permintaan-permintaan daripada kebanyakan orang dari kawasan yang banyak.
“Tetapi biarlah kami, Bidayuh di Serembu berharap akan diberi perhatian istimewa kerana Bidayuh membentuk kira-kira 80 peratus pengundi di situ,” ujarnya.
Jelasnya, ahli-ahli PBB di Serembu yang diketuai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr James Dawos Mamit telah begitu aktif memperkenalkan PBB di kawasan tersebut. Parti-parti BN yang lain kelihatan tidak bergerak di situ.
Selain Serembu, PBB juga amat diharapkan bertanding di Bukit Semuja oleh Bidayuh sebagaimana Mulu oleh diwakili Orang Ulu dan Bukit Goram oleh Iban.
Harapan dan keinginan itu bukan lagi satu rahsia, tetapi menurut Minos ramai penduduk yang menyuarakannya secara terbuka.
Menjelaskan lanjut mengapa ramai Bumiputera mahu PBB mewakili kawasan masing-masing, Minos berkata parti itu terbukti mempunyai kepimpinan yang bersatu padu, matang dan amat baik.
Malah, dengan diketuai seorang pemimpin yang kuat, proaktif dan progresif, PBB kelihatan semakin menarik.
“KM Adenan sebagai presiden PBB memang tidak dinafikan merupakan seorang yang dihormati dan Ketua Menteri yang digemari yang pernah Sarawak miliki.
“Saya rasa itu menjadikan PBB lebih menarik dan disukai,” katanya sambil menambah, rakyat dapat melihat kelebihan, bukan sahaja mempunyai kekuatan, juga parti itu mempunyai pemimpin berjiwa rakyat.
Minos berkata lagi, jika diberi peluang mungkin ramai juga Bumiputera dalam parti-parti komponen BN yang lain mempunyai sentimen untuk berada dalam PBB.
Menurutnya, ramai yang meluahkan sentimen itu kepadanya dan beliau berasa bangga dengan situasi itu.
Beliau juga percaya sebab lain mengapa Bumiputera Sarawak menyukai PBB – mereka sudah muak apabila mendengar dan membaca pertelingkahan dalam parti-parti lain BN.
Wujud gambaran dan persepsi di kalangan mereka, PBB satu-satunya yang bebas masalah dalaman, jelasnya.
“Sebenarnya, banyak yang berlaku di dalam PBB, tetapi kerana perpaduan dan disiplin, semua perkara dalam PBB diselesaikan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum.
“Itu budaya politik terbaik dalam PBB,” ujarnya.-Utusan Borneo

Post a Comment
Doik nyaa bisaya de nyoma tih tia. Kupuo odop eh doh geh gurus eh.
Bulak