MIRI: Harapan Sarawak mahu mendapatkan balik kuasa autonomi daripada kerajaan pusat seperti dipersetujui semasa pembentukan Malaysia merupakan agenda bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk SUPP dalam usaha membangunkan negeri ini dengan lebih baik.
Setiausaha Kehormat SUPP Datuk Sebastian Ting berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melakukan langkah pertama dalam rangka kerja berhubung usaha mendapatkan balik kuasa autonomi daripada kerajaan pusat dan mendapatkan sokongan padu bukan sahaja daripada ahli-ahli parti komponen BN malah seluruh rakyat negeri ini.
Mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Sebastian berkata SUPP bersedia sepenuhnya menghadapi PRN ini memandangkan semua wakil dan ahlinya sentiasa turun padang menyampaikan khidmat kepada rakyat.
Beliau juga berasa yakin dengan populariti Ketua Menteri semakin melonjak ketika ini dan maklum balas amat memberangsangkan daripada peringkat akar umbi khususnya kalangan masyarakat Cina di negeri ini.
Katanya SUPP dan parti-parti komponen BN dijangka terus berkuasa dengan memenangi kerusi-kerusi ditandingi pada PRN Ke-11 yang dijangka bulan depan.
“Maklum balas peringkat akar umbi di 16 konstituensi (majoriti pengundi) Cina yang diintai SUPP menunjukkan amat baik dan kita percaya Ketua Menteri telah melakukan yang terbaik dan banyak perkara kepentingan rakyat menyebabkan rakyat kini bangkit berdiri di belakang beliau kerana beliau adalah ‘suara’ rakyat Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, Sebastian adalah antara 16 nama diumumkan SUPP bertanding pada PRN akan datang dan senarai tersebut sudah diserahkan kepada Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak.
Pada Majlis Rumah Terbuka TBC di Kuching Isnin lalu, SUPP mengumumkan 16 calonnya iaitu Sebastian bagi kerusi Piasau, Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Milton Foo (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wifred Yap (Kota Sentosa), Teng Ung Wu (Repok), Ding Kuong Hiing (Meradong), Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Dato Sri Lee Chung Fatt @ Benny (Dudong), Robert Lau (Bawang Assan), Michael Tiang (Pelawan), Soo Li Ching (Tanjung Batu) dan Adam Yii (Pujut).
Mengenai pemilihan beliau sebagai calon, Sebastian berkata beliau amat berterima kasih kepada parti kerana memberi amanah tersebut dan memastikan amanah itu dilaksanakan sebaik mungkin dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat jika diberi peluang dan memenangi kerusi Piasau.
Sementara itu, Sebastian turut mengadakan rumah terbuka di kediaman beliau di Luak Bay di sini semalam dan menerima kunjungan ribuan tetamu pelbagai bangsa dan agama.-Borneo Post
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.