SIBU: Kerajaan harus mengutamakan kebajikan rakyat yang terjejas oleh projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat rumah panjang atau kampung terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut.
Katanya tanaman termasuk buah-buahan yang berada dalam lingkungan kawasan projek itu juga terpaksa ditebang.
“Selain mengharapkan kerjasama jitu daripada rakyat dalam merealisasikan impian memiliki lebuh raya selepas lebih 50 tahun, saya harap perhatian teliti daripada kerajaan.
“Ini termasuk membayar pampasan mengikut lunas undang- undang kepada rakyat yang terjejas,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Rumah Kiroh Batu 36, Tamin kelmarin.
Menurut Mauh, beliau bagaimanapun mengakui rakyat negeri ini berasa bangga apabila projek itu siap kelak.
Ini kerana, selain memiliki rangkaian jalan raya yang baik, juga dapat membantu mengembang serta mengukuhkan kedudukan ekonomi penduduk negeri ini.
“Dengan adanya jaringan lebuh raya berkenaan, sosioekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman juga dapat dibangunkan.
“Saya melihat ia antara pencapaian terbaik Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sejak menyandang jawatan Ketua Menteri.
“Kepimpinan Adenan semakin terserlah apabila membelanjakan 50 peratus peruntukan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di luar bandar,” katanya.
Mauh memberitahu di kawasan Tamin, projek Lebuh Raya Pan Borneo dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan bermula dari Bulatan Sibu/ Bintulu sehingga ke Jambatan Sungai Kua.
Fasa kedua pula melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Sungai Kuo sehingga ke Jambatan Sungai Pelugau.-Utusan Borneo
Post a Comment