Seorang bishop Katolik berkata yang moral Malaysia sedang menjunam jatuh dan negara ini tidak bertindak mengikut prinsip yang selama ini dipegangnya.
“Kita dalam situasi sukar dalam sejarah Malaysia di mana segala bentuk kesopanan, kehormatan, integriti, kejujuran dan ketelusan sudah diketepikan,” kata Rt Rev Paul Tan Chee Ing, Bishop Melaka-Johor, dalam perutusan kepada kariahnya sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang akan datang.
Menurutnya, apa yang ada kini hanya ketidakbertanggungjawaban, penipuan dan ketakutan yang digembar-gemburkan, menambah yang, “korupsi dan ketidakpatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan yang kini diperlekehkan oleh mereka yang merupakan pemimpin kerajaan kita.”
Dalam perutusannya kepada kariahnya, Bishop Tan, 75, yang juga merupakan presiden Persidangan Bishop Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei, berkata selaku orang Kristian mereka tidak boleh hanya berdiam diri dan membiarkan semua keburukan berlaku.
Pemimpin utama Katolik itu menekankan yang penganut Kristian Malaysia, perlu bertindak, pertamanya ialah dengan berdoa setiap hari untuk negara. Dia juga meminta mereka datang menghadiri upacaya sembahyang di kawasan masing-masing yang “ sepenuhnya ditujukan untuk Malaysia”.
Kedua, Bishop Tan berkata yang mereka perlu menyedari tentang hak mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab kepada negara ini serta bahawa “tiada seorang pun perlu meragui kesetiaan dan kecintaan kami kepada raja dan negara ini”.
Pada masa yang sama, dia menggalakan mereka mengadakan perbincangan kesedaran dan forum dengan pemimpin-pemimpin politik daripada semua latar belakang atau dengan NGO yang giat membantu mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih berpadu dan mempromosikan perpaduan dan pembinaan negara.
“Ketiganya, marilah kita semua menjaga kata-kata dan tindakan kita. Mari kita mempunyai budi yang baik seperti Christ. Tindak balas kita sentiasa bersandarkan cinta dan persahabatan, untuk memberi rahmat dan menjadi agen perpaduan.”
Dia juga mengingatkan orang Kristian yang mereka tidak boleh melupakan semua yang terjadi kerana kuasa Tuhan dan Dia mengetahui semuanya, termasuklah perkara-perkara yang disembunyikan.
“Marilah kita memperjuangkan keadilan dan kebenaran, perdamaian dan keamanan, mengetahui bahawa Tuhan bersama kita. Kita percaya kepada janji-janji Tuhan,” katanya dalam perutusan itu.
Paul Tan memulakan latihan Jesuitnya di Hong Kong pada tahun 1959 dan melanjutkan pelajaran di Filipina dan Taiwan sebelum memperolehi Lesen Teologi (STL) di Milltown Institute of Theology and Philosophy di Dublin, Ireland.
Selepas tamat pengajian, dia pergi ke Colombia di Amerika Latin untuk tahun akhir latihan Jesuitnya. Dia di iktiraf sebagai paderi pada tahun 1971 dan memulakan pengajian kedoktorannya di Ecole des Hautes Etudes di Perancis.
Kembali ke Malaysia, dia membantu penubuhan Catholic Research Centre di Kuala Lumpur pada tahun 1977 untuk memastikan penyebaran maklumat yang berkesan kepada penganut Katolik tentang ajaran Katolik yang menyentuh isu etika dan sosial, selain pembangunan politik, sosial dan ekonomi negara ini.
Bishop Tan juga merupakan pengasas Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity Hinduism and Sikhism pada awal tahun 1980-an. Hari ini, majlis tersebut merupakan pakar rujuk kerajaan dalam isu-isu perundangan serta dasar yang menyentuh kepentingan orang bukan Islam.
Pope John Paul II melantiknya sebagai Bishop Melaka-Johor pada bulan Febuari 2003, dan dia dilantik secara rasmi pada Mei tahun itu. Dia menjadi presiden Persidangan Bishop Katolik di Malaysia, Singapura dan Brunei pada Januari 2011.
Dia juga bergiat aktif dalam aktiviti mempromosikan perpaduan antara agama Kristian, telah menjadi pembantu setiausaha dan kemudiannya dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif dalam Christian Federation of Malaysia.
Pada tahun 1992, dia pergi ke Rome untuk berkhidmat sebagai pembantu utama umum untuk rantau Asia Timur dan Oceania.
Bishop Tan fasih dalam bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Melayu dan Mandarin, selain beberapa dialek Cina tempatan.
- The Ant Daily
Post a Comment