Ahli SABERKAS perlu rebut peluang bidang keusahawanan


BINTULU: Ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak(SABERKAS) perlu merebut peluang dalam bidang keusahawanan memandangkan pertubuhan itu telah membangunkan projek pembangunan komersial dengan menyedia ruang perniagaan di Sungai Plan Kidurong.

Presidennya merangkap Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, beliau mengusul supaya ahli SABERKAS mengenal pasti beberapa bidang perniagaan tertentu kerana SABERKAS boleh memberi panduan dan menawarkan ruang untuk mereka berniaga di bangunan yang dimilikinya secara komersial.

“Kami boleh mempertimbang memberi sewa khas kepada mereka,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden SABERKAS di sebuah hotel terkemuka malam kelmarin.

Turut hadir Naib Presiden SABERKAS merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Agung SABERKAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Bendahari Kehormat SABERKAS Ngui Ing Ing dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

Katanya SABERKAS berperanan sebagai inkubator dengan menyediakan ruang perniagaan dan pejabat untuk ahli-ahlinya terlibat dalam perniagaan.

Jelasnya, projek pembangunan komersial SABERKAS itu dilihat mempunyai masa depan dan peluang cerah khusus untuk ahli-ahlinya yang berminat dan cenderung dalam perniagaan lebih-lebih lagi dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan melalui kawasan Sungai Plan.

“Ia juga panduan kepada generasi muda khasnya di Bintulu supaya mereka dapat mengambil bahagian dan menyertai pembangunan lebih-lebih lagi Ketua Menteri mempunyai dasar mentransformasi kawasan luar bandar termasuk memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata golongan muda yang masih bertenaga perlu mengambil inisiatif merebut peluang hasil yang disediakan oleh kerajaan dan mereka perlu tahu apa yang perlu dibuat.

Mengenai projek pembangunan komersial milik SABERKAS itu katanya, ia membabitkan pembinaan satu blok bangunan merangkumi lapan unit kedai dan lapan ruang bengkel.

Katanya mereka yang berkecimpung dalam pembangunan ekonomi dan berkehendak tapak akan diberi pertimbangan namun minat mesti ada untuk menjadi usahawan.

“Kami akan bantu menyediakan ruang dan kadar sewa tertentu kepada orang ramai yang berkehendak ruang untuk berniaga tetapi keutamaan akan diberi kepada ahli-ahli SABERKAS” katanya.

Menurutnya, ia praktikal dan mudah untuk menempatkan ruang pejabat dan dengan kadar sewa yang rendah orang muda yang ingin menjadi usahawan akan mengambilnya untuk mereka berniaga.

Beliau turut menjelaskan mengenai lawatannya bersama exco SABERKAS termasuk ahli-ahli cawangan Kidurong, Jepak dan Kemena yang meninjau tapak projek SABERKAS tersebut.

Selain itu, beliau juga berkongsi idea bersama ahli-ahli mengenai peluang-peluang yang ada dalam pembangunan khasnya di Bintulu.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget