PRS komponen BN pertama perkenalkan calon


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah parti komponen BN yang pertama memperkenalkan calon-calonnya bagi menghadapi Piilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut satu paparan dalam media sosial baru-baru ini, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, penyandang PRS dan beberapa muka baharu kelihatan bergambar kumpulan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini pada 5 Januari lepas.

Antara wajah baharu adalah Wilson Nyabong, Kennedy Chok Pai Ugon, Christopher Gira, Majang Renggi dan Angeline Umis.

Menurut sumber, Naib Presiden PRS merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Majang Renggi akan dicalonkan bagi kerusi baharu Samalaju manakala Chok di Murum.

Nyabong pula dijangka dicalonkan di Pelagus, Gira di Tamin dan Umis di Bukit Goram jika kerusi tersebut diberikan kepada PRS.

Setakat ini, PRS sudah diperuntukkan dua daripada 11 kerusi baharu iaitu Murum dan Samalaju manakala calon bagi Bukit Goram masih belum pasti kerana ia mungkin juga akan diberikan kepada PBB.

Majang ketika dihubungi berkata beliau sebenarnya sudah berkhidmat kepada rakyat pada peringkat akar umbi sejak dilantik menjadi setiausaha politik Ketua Menteri dua tahun lalu.

“Saya sudah bergerak membantu rakyat tetapi selepas pertemuan dengan Ketua Menteri, kami sudah mempertingkatkan pergerakan kami pada peringkat akar umbi untuk mendekati pengundi terutama ketua-ketua masyarakat,” katanya.

Majang, 57, merupakan bekas eksekutif perolehan Petronas selama 31 tahun sebelum dilantik menjadi setiausaha politik Ketua Menteri.

Bagi kerusi Murum pula, PRS telah menamakan Presiden Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) merangkap Ketua Pemuda PRS Belaga Kennedy Chok Pai Ugon sebagai calon.

Di Tamin, seorang jurutera awam dan struktur Christopher Gira telah dinamakan untuk menggantikan penyandang Datuk Joseph Mauh yang telah membuat keputusan untuk bersara daripada politik.

Menurut Gira, beliau sudah melawat kesemua lima pusat undi di Tamin dan akan mempertingkatkan program untuk melawat sebanyak mungkin rumah panjang.

Penyandang dalam parti adalah Masing sendiri di Baleh, Snowdan Lawan (Balai Ringin), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Malcolm Mussen Lamoh (Batang Ai) Alexander Vincent (Ngemah), Liwan Lagang (Belaga) dan Datuk John Sikie Tayai (Kakus).

Sementara, Masing ketika dihubungi tidak menafikan atau mengesahkan wajah baharu dalam parti itu dan hanya menyebut beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk membuat pengumuman rasmi mengenai senarai calon BN.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget