Samseng Sibu digempur

Polis lancar Ops Cantas Khas susulan kes tembak, tangani keresahan penduduk

SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Ops Cantas Khas sejak Isnin lalu sebagai langkah terbaik untuk menangani kegundahan masyarakat  bandar ini selepas insiden kes tembak mati secara terbuka seorang ahli perniagaan pada 9 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, sasaran utama operasi ialah membendung dan melumpuhkan aktiviti haram samseng di bandar ini.

Katanya, operasi tersebut diketuai oleh Timbalannya ACP Abdul Razak dengan kekuatan seramai 20 pegawai dan 92 anggota  IPK Sarawak, pasukan JSJ Sibu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

“Fokus operasi tertumpu di pusat hiburan, premis judi, tempat dikawal dan sering dikunjungi samseng tempatan di bandar ini,” jelas Dev.

Katanya, seramai 399 orang diperiksa termasuk di pusat hiburan, premis permainan mesin ikan, tapak sabung ayam dan gimnasium dengan 49 ditangkap atas pelbagai kesalahan dalam tiga hari pertama operasi.

Beliau berkata, 12 daripada mereka yang ditangkap merupakan lelaki tempatan manakala selebihnya pendatang asing telah menyalahi Akta Imigresen.

Menurutnya lagi, JSJ Sarawak akan mengambil tindakan pencegahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) terhadap samseng tempatan yang didapati terlibat dalam jenayah kekerasan.

Mengenai kes tembak pada jam 11.09 malam Sabtu lalu, katanya, polis meminta orang awam tampil memberi maklumat kerana siasatan masih belum menemui petunjuk yang boleh membawa kepada penyelesaian siasatan.

Seramai lima lelaki telah ditangkap dan tiga daripada mereka telah dibebaskan setelah disoal, manakala dua lagi berumur 42 dan 45 tahun telah direman selama tujuh hari sehingga 17 Januari.

Pada Sabtu lalu, Ting Mung Min, 30, ditembak mati di hadapan sebuah restoran di Jalan Long Bridge dan setakat ini polis belum mengenal pasti suspek termasuk maklumat kenderaan diguna penembak.
Ketika kejadian, Ting bersama lima rakannya hendak beredar dari restoran apabila dia tiba-tiba ditembak dari jarak dekat oleh suspek.
Seorang wanita warga China juga cedera di pergelangan tangan dan bahu kiri akibat terkena tembak.
“Kami sedang berusaha menjalankan siasatan kes daripada pelbagai sudut untuk mengenal pasti suspek,” kata Dev.

Tambahnya, Ops Cantas juga dilancar sebagai satu langkah berjaga-jaga kerana khuatir akan berlakunya serangan balas daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Dev memberitahu mangsa tidak memiliki perniagaan pusat hiburan dan menyifatkan kes tersebut sebagai berprofil tinggi kerana pembunuhan seumpamanya jarang berlaku di negeri dan menimbulkan keresahan masyarakat.

“Kes tersebut adalah terpencil dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan keadaan keselamatan di bandar ini,” tambahnya. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget