KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat DAP memohon penjelasan Mufti Kelantan sama ada perhimpunan baju merah yang dijadualkan di ibu kota hari ini dan pembakaran patung pemimpin DAP di Kelantan baru-baru ini, adalah perbuatan haram atau halal.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mahu mendapatkan penjelaskan tersebut berikutan kenyataan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu Datuk Shukri Mohamed selaku mufti Kelantan menjelaskan sama ada haram atau halal perhimpunan baju merah yang dijadualkan hari ini.
Katanya, akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia telah memetik mufti tersebut sebagai berkata bahawa “Islam mengajar umatnya mentaati undang-undang dan pemerintah, bukan melakukan provokasi dan mewujudkan suasana tidak aman kepada masyarakat sebagai tanda proses,” dalam laporan muka depannya mengenai status “haram” perhimpunan Bersih 4.
“Dalam semangat yang sama, saya sebagai orang yang kurang memahami Islam turut ingin bertanya kepada sahibus-samahah Datuk Mufti Kelantan tentang hukum membakar patung dengan gambar Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng seperti yang dilakukan oleh segerombolan UMNO Kelantan tempoh hari.
“Adakah perbuatan membakar patung sedemikian dilarang oleh Islam atau sebaliknya dibolehkan oleh syarak? Adakah sebarang dalil yang menghalal atau mengharamkan perbuatan biadab sedemikian?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Lip Eng juga mencadangkan agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengumumkan ganjaran kepada orang ramai yang tampil memberi maklumat tentang insiden bakar patung pemimpin-pemimpin DAP tersebut, sepertimana beliau telah bergegas mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika perhimpunan Bersih 4.
Menurutnya, jika kedua-dua Mufti Kelantan dan Ketua Polis Negara enggan mengambil langkah-langkah tersebut, rakyat akan menyangka bahawa kedua-dua mereka mempunyai agenda peribadi kerana hanya mensasarkan peserta-peserta perhimpunan aman Bersih 4.
“Saya kira mereka berdua sebagai penjawat awam tanpa terikat dengan politik dapat memastikan bahawa tindakan dan kenyataan dibuat secara adil dan saksama, tanpa mengira kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya. – Roketkini.com
Post a Comment