MIRI: Dana berjumlah RM1.5 juta diperlukan untuk menukar wajah kawasan perniagaan tamu Majlis Daerah Subis (MDS) di simpang Bekenu Jalan Miri Bintulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat berkata, beliau akan memohon peruntukan kerajaan negeri menjayakan projek melibatkan kerja menaik taraf tamu yang berusia lebih 10 tahun.
“MDS belum memiliki bajet melaksanakan projek ini. Saya cuba mohon kerajaan negeri mendapatkan dana,” katanya selepas mengadakan lawatan menemui peniaga-peniaga di tamu tersebut semalam.
Tamu menempatkan seramai 28 peniaga menjual makanan panggang, kuih-muih, minuman, sayuran dan buah-buahan.
Selain tamu, kerja menaik taraf turut melibatkan medan selera yang diusahakan oleh lapan peniaga gerai makanan.
Setiausaha MDS, Lolita Jaime Nicholas berkata, dana itu juga bakal menjayakan pembinaan ruang penjaja terbuka di kawasan lapang bersebelahan tamu.
“Ruang perniagaan baharu ini akan menempatkan seramai 30 peniaga. Kita juga bercadang membina pentas terbuka di kawasan ini kelak, “ katanya.
Jelasnya, pembinaan pentas akan membolehkan penganjuran aktiviti pentas seperti pertandingan nyanyian dan tarian untuk memeriahkan lagi suasana.
Lolita menambah, projek melibatkan penambahan jumlah tempat letak kereta, membina perparitan serta pemasangan lampu jalan.
Penyediaan kemudahan ebih baik diharap memberi keselesaan serta mewujudkan aktiviti jual beli lebih teratur memanfaatkan peniaga dan pengunjung.
Tamu tersebut popular dalam kalangan penduduk kawasan sekitar khasnya pada hujung minggu.
Ia turut menjadi tempat persinggahan untuk pengguna jalan raya yang berulang-alik melalui laluan Pan Borneo dari Miri ke Bintulu.
Ketika musim buah, persekitaran tamu sesak dengan peniaga buah-buahan seperti durian, langsat, rambutan, dan dabai.-Utusan Borneo
Post a Comment