Kerusi baharu cabaran getir calon PRN


MIRI: Penambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberi cabaran baharu bukan sahaja kepada parti politik tempatan tetapi juga bakal calon bertanding.

Pemerhati politik tempatan, Wan Zain Syed Mohdzar berkata ketika ini semua parti politik komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengintai peluang untuk kesemua 11 kerusi terbabit.

“Kita percaya akan berlaku perebutan kerusi bukan sahaja dalam komponen BN malah parti pembangkang yang ketika ini sudah berpecah-belah menjelang Pilihan Raya Negeri,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, perebutan kerusi baharu berlaku kepada dua parti politik baharu dikatakan mesra BN seterusnya menjadikan pilihan raya kali ini antara yang terhangat.

Di samping itu, penambahan 11 kerusi baharu ini akan menjadi satu cabaran paling besar dalam PRN Sarawak terutama dalam menangani isu-isu tempatan di konstituensi baharu.

“Isu berkaitan dengan infrastruktur asas, ekonomi luar bandar, isu tanah dan sebagainya mungkin akan dibangkitkan semula pada kempen pilihan raya khasnya di 11 kerusi baharu,” katanya.

Malah, bagi komponen BN diberi kepercayaan bertanding di kerusi baharu itu nanti perlu meletakkan calon tempatan dari parti itu sendiri dan bukannya calon ‘payung terjun’.

“Peluang harus diberi kepada muka baharu yang lama berjasa dengan parti dan mestilah orang tempatan memahami geografi kawasan berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata tidak mustahil pada PRN kelak akan banyak calon parti komponen BN, pembangkang dan calon bebas hingga tercetus pertandingan 3 hingga 7 penjuru.

“Semua parti politik telah mempunyai calon masing-masing tetapi keputusan tetap di tangan rakyat yang menentukan calon yang bakal mewakili mereka kelak,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 11 kerusi baharu terbabit akan memberi pembangunan dengan lebih efesien kepada pedalaman Sarawak.

“Ia hanya akan berlaku jika BN yang mentadbir 11 konstituensi terbabit. Jika pembangkang, perkara itu amat mustahil kerana mereka tiada bajet mencukupi,”.

“Lihat sahaja di kawasan bandar, mereka tidak mampu menunaikan janji mereka pada pilihan raya lalu meskipun telah bergelar wakil rakyat apatah lagi jika menang di pedalaman,” tegasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget