MIRI: Menyambungkan grid elektrik ke kawasan pedalaman diakui bukan satu tugas mudah namun bukan alasan mustahil untuk melaksanakannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau bersetuju dengan pendapat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahukan Sarawak Energy Berhad (SEB) memperbaiki sistem grid bagi membolehkan liputan bekalan elektrik menembusi kawasan pedalaman Sarawak.
“Kita sangat setuju dengan beliau (Adenan) dan ini adalah saat-saat yang kita tunggu kerana bekalan elektrik sudah lama diidam-idamkan terutama di kawasan pedalaman,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Menurutnya, lampu hijau diberikan oleh Adenan merupakan salah satu daripada perkara yang dimahukan oleh penduduk yang tinggal jauh di kawasan pedalaman sejak dahulu lagi.
Dennis berkata sebelum ini penyambungan grid atau bekalan elektrik di kawasan yang terletak jauh di kawasan pedalaman nampak mustahil.
Bagaimanapun, ia tidak akan menjadi satu alasan bagi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta SEB pada masa ini.
“Memang besar harapan penduduk serta rakyat di kawasan pedalaman untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam seperti di kawasan bandar,” ujarnya.
Sementara itu, Dennis turut memberitahu bahawa kos pembinaan empangan mikro hidroelektrik di kawasan terpilih yang ditanggung kerajaan negeri menelan belanja besar.
Seperti di kawasan Long Banga, ia menelan kos RM30 juta untuk membina empangan tersebut hanya untuk membekalkan elektrik kepada dua kampung sahaja.
“Tetapi kerajaan tetap melakukannya demi rakyat yang mahu menikmati bekalan elektrik,” jelasnya.
Pada Isnin lalu, Adenan meminta SEB menaik taraf sistem grid untuk membolehkan liputan bekalan elektrik menembusi kawasan pedalaman Sarawak.
Kata Adenan walaupun kerajaan mempunyai pelbagai skim termasuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) namun masih tidak mencukupi ketika ini.-Utusan Borneo
Post a Comment