Daripada 31 Parlimen di Sarawak, PAS hanya mempunyai 9 Kawasan. Mengagumkan, apabila di semua PAS Kawasan itu, Pemuda PAS menjadi antara tenaga penggerak pentingnya. Ikuti temubual Wartawan Harakah,IZWAN ABDUL HALIM bersama Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo berhubung peranan mereka dalam politik semasa negeri itu.
HARAKAH: Sejauh mana Pemuda PAS memainkan peranan sebagai tenaga penting PAS di Sarawak?
MOHAMMAD ARIFIRIAZUL: Kebanyakan tenaga penggerak di peringkat kawasan-kawasan di Sarawak adalah dikalangan anak muda. Pengarahan Pemuda PAS Negeri adalah jelas kepada setiap pemuda untuk menggerakkan gerak kerja di kawasan-kawasan berasaskan kepada Pelan Strategik 10 Tahun Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak.Antara perkara yang menjadi sasaran utama Pemuda PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Sarawak adalah untuk memastikan wujudnya 30 Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti)di seluruh Sarawak dan 10 Dewan Pemuda PAS Kawasan aktif menjelang 2018. Maka secara tidak langsung akan mengembangkan PAS di Sarawak dengan tertubuhnya Dewan baru dan Pasti.
Dimaklumkan, Pemuda PAS Negeri Sarawak telah melancarkan projek 'UntukMu Sarawak'. Boleh saudara kongsikan mengenainya?
Untukmu Sarawak (UMS) merupakan suatu tema kempen atau tagline yang diperkenalkan oleh Pemuda PAS Sarawak sebagai suatu pendekatan baru bagi mendekatkan rakyat Sarawak kepada PAS. UMS bukan NGO tapi suatu tema.Salah satu fokus kepada UMS ini adalah pendekatan kebajikan dalam membantu rakyat dalam skala lebih besar. Antara lain adalah dari sudut sektor pembangunan infrastruktur asas, sektor servis iaitu program-program kursus ekonomi bagi membangun masyarakat.Antara projek yang telah dibuat dan dalam pembikinan pembinaan titi jambatan di Beting Maro, pembinaan Surau Tukau Jaya Lambir, penggantian atap di Dun Senadin.Konsep kebajikan UMS adalah "Daripada Rakyat Kepada Rakyat Sarawak". Projek-projek infra sekala kecil ini akan membuka mata rakyat untuk melihat kemampuan PAS walaupun belum lagi memerintah negeri namun ada kekuatan dan keazaman untuk membela rakyat Sarawak.Melalui Projek Infra Kecil UMS ini juga kita melihat pihak kerajaan akan membawa projek-projek yang lebih besar bagi menyayingi program UMS yang akhirnya akan memberi keuntungan kepada rakyat di kawasan tersebut.
Nampaknya masyarakat Sarawak khususnya anak muda semakin menunjukkan perubahan. Apakah faktor yang mempengaruhi perubahan ini dan sejauh mana PAS memposisikan kedudukan dalam perubahan tersebut?
Dalam suasana sekarang sebenarnya mood rakyat Sarawak adalah bercampur aduk. Ini kerana dalam masa sekarang rakyat marah kepada kerajaan kerana polisi-polisi kerajaan yang membebankan rakyat sebagai contoh perlaksanaan GST, kenaikan harga barang dan pelbagai lagi isu lain. Namun dalam masa yang sama rakyat Sarawak dilihat gembira dan selesa dengan pendekatan Ketua Menteri Sarawak yang baru yang dilihat mempertahankan hak rakyat Sarawak.Dalam suasana ini, Pemuda PAS Sarawak mengambil pendekatan harmoni bersama Ketua Menteri baru dalam usaha untuk bersama-sama dengan kepimpinan Ketua Menteri dalam menuntut hak-hak rakyat negeri Sarawak sebagai contoh tuntutan royalti kepada Sarawak.Dalam masa yang sama Pemuda PAS Sarawak terus konsisten dalam mengetengahkan dan mendedahkan isu-isu rakyat.
Menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi, apakah tawaran atau komitmen Pemuda PAS Sarawak kepada masyarakat Bumi Kenyalang ini?
Insya-Allah kita akan lancarkan satu tawaran khas kepada anak muda khususnya kepada para belia dalam satu tawaran yang akan kita namakan kemudian, tapi khusus tawaran ini kepada anak muda dan belia di negeri Sarawak Insya-Allah. Secara rumusannya, ada tiga perkara yang kita akan focus. Pertamanya adalah dari sudut pembangunan ekonomi anak muda dan kedua dari sudut pembangunan infrastruktur asas kepada masyarakat dalam negeri Sarawak dan ketiga adalah perihal perkara yang menjadi satu perkara yang sinonim kepada negeri Sarawak, walaupun negerinya negeriluas, walaupun buminya bumi luas, walaupun rakyatnya tidaklah sepadat sepertimana kepadatan penduduk di Selangor ataupun negeri-negeri lain, tapi hari ini negeri Sarawak masih lagi berada dalam satu masalah iaitu berkenaan kurangnya tanah yang dianugerahkan kepada rakyat. Itu antara tiga perkara yang kita akan sentuh dalam tawaran khusus kepada pengundi dan masyarakat di negeri Sarawak dan secara terperincinya saya akan sebut pada malam pengisytiharannya nanti, sebagai surpriselah Insya-Allah kita akan adakan satu majlis khas untuk pelancaran tawaran manifesto khusus daripada PAS kepada belia dan masyarakat di negeri Sarawak.-PAS.ORG
Post a Comment