Sokongan 74% rakyat kepadanya tiada makna jika BN tidak menang PRN akan datang
SIBU: Memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu rakyat menterjemahkan sokongan mereka dalam bentuk undi selepas meraih 74 peratus sokongan rakyat negeri ini.
“Saya tidak kira populariti diraih itu tetapi biar sokongan (74 peratus) atau kepopularitian saya di kalangan rakyat perlu ada bukti daripada hati rakyat sendiri pada PRN nanti.
“Jangan cakap sahaja seperti ‘menang sorak kampung tergadai’,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di sini malam kelmarin.
Hadir sama isterinya, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad.
Berdasarkan tinjauan pendapat awam Pusat Merdeka Penyelidikan Pendapat daripada 606 responden mendedahkan bahawa 74 peratus daripada penduduk Sarawak menyokong kepimpinan Adenan.
Pengarah Program Pusat Merdeka Ibrahim Suffian pada sidang akhbar Isnin lalu berkata penarafan populariti Adenan di kalangan pelbagai masyarakat adalah 82 peratus untuk komuniti Bumiputera (Muslim), 74 peratus (Dayak) dan 67 peratus (Cina).
Menurut Ibrahim, atas tiga sebab bagi penarafan tinggi Adenan termasuk pentadbiran yang baik, menjaga kebajikan rakyat dan kualiti kepimpinan yang positif.
Adenan berkata walaupun beliau menghargai penarafan itu namun beliau berharap rakyat tidak hanya bercakap sahaja dengan mengatakan mereka menyokong beliau.
Katanya sokongan itu perlu dibuktikan dalam bentuk undi supaya Barisan Nasional (BN) dapat menikmati kemenangan besar pada PRN akan datang.
“Saya minta semua memberi saya lima tahun lagi meneruskan apa yang saya lakukan kepada negeri ini.
“Banyak yang kita boleh buat dalam masa lima tahun dan lihatlah sejak saya menjadi Ketua Menteri dalam masa setahun setengah ini berapa banyak kejayaan kita capai,” ujarnya.
Beliau menggesa rakyat memberi peluang kepadanya meneruskan pentadbiran negeri ini lima tahun lagi.
Beliau berkata, dengan memperolehi mandat baik (majoriti besar) daripada rakyat pada PRN kelak, ini memudahkan beliau bersuara mewakili rakyat negeri ini kepada kerajaan persekutuan dalam usaha memohon menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus.
“Jika anda mahu lebih banyak pendapatan bagi negeri ini, anda tidak mempunyai pilihan lain selain memberi BN dan saya menang besar pada PRN kelak,” jelasnya.
Adenan menambah, beliau akan meneruskan rundingan untuk menaikkan royalti minyak sampai dapat.
Justeru, keutamaannya sekarang adalah merapatkan jurang antara luar bandar dan kawasan bandar dengan peruntukan tambahan RM500 juta untuk pembangunan luar bandar.
Adenan berkata sebelum meminta mandat daripada rakyat adalah penting bagi mereka mengetahui apa yang dilakukannya kepada negeri ini di bawah pentadbirannya.
Perkara-perkara yang sudah dilaksana Adenan ialah membanteras pembalakan haram diikuti memberhentikan pengeluaran kayu balak dan lesen perladangan kelapa sawit komersil dan berskala besar, pemansuhan tol jambatan, menurunkan tarif elektrik kepada industri tempatan dan pengguna serta menurunkan caj feri daripada RM10 dan RM15 kepada RM1.
Dalam perkembangan lain, Adenan turut mengumumkan bahawa Dr Annuar dikekalkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Nangka pada PRN akan datang.-Utusan Borneo
Post a Comment