Rundi yakin pengerusi BN Sarawak mempunyai strategi terbaik untuk mengatasi masalah itu
KUCHING: Kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak seharusnya menyerahkan kedudukan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kepada Ketua Menteri untuk menyelesaikannya.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang memberitahu bahawa beliau yakin Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mempunyai strategi untuk mengatasi masalah itu.
“Jadi saya menasihati parti komponen BN agar menyerahkan kepada beliau (Adenan) untuk menanganinya dan kita harus mengikuti nasihatnya kerana pada akhirnya beliau yang akan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa ditanya berhubung perkara itu selepas penyerahan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kompleks Masja dekat sini semalam.
Rundi yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam dan Perhubungan berkata, kesemua parti komponen harus berusaha mengukuhkan perpaduan di dalam BN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri yang tidak lama lagi.
“Di negara demokratik, kita boleh memberi pandangan dan pendapat tetapi pastikan ia tidak mencetuskan huru-hara,” tambahnya.
Menurutnya, sementara BN Sarawak sedang membuat persiapan yang rapi untuk memenangi PRN, semua parti komponen tidak harus melakukan sesuatu yang bercanggah dengan semangat perpaduan BN.
Katanya senario politik dijangka tidak menjejaskan BN Sarawak selagi ia menerima sokongan daripada keempat-empat parti komponen iaitu PBB, PRS, SPDP dan SUPP.
Tegasnya, jika semua pihak dapat bekerjasama dalam satu pasukan BN tidak akan menghadapi masalah untuk memenangi PRN nanti.
“Bagi TERAS dan UPP mereka belum lagi dalam BN tetapi walaupun mereka dilihat tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan BN, kita percaya Ketua Menteri paling tahu bagaimana untuk menanganinya,” ujarnya.-Utusan Borneo

Post a Comment