KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) berpendirian setiap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melengkapkan sesuatu siasatan adalah perlu untuk mendapatkan gambaran jelas tentang sesuatu isu.
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata sebagai badan bebas yang berkredibiliti, setiap siasatan yang dilakukan perlu diteruskan sehingga mendapat hasil yang diterima rakyat.
"Kalau perlukan keterangan yang diberikan oleh perdana menteri sendiri untuk membantu siasatan agar lebih sempurna dan menyeluruh, itu buktikan SPRM sedang jalankan siasatan tanpa gentar atau pilih kasih.
"Maksudnya SPRM menjalankan siasatan dengan telus, tanpa sekatan dan tiada apa-apa yang disembunyikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Khamis.
Beliau mengulas kenyataan SPRM pada Rabu yang mengesahkan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib ialah sumbangan daripada penderma dari Asia Barat dan justeru, Najib akan diminta untuk memberi penjelasan kepada SPRM mengenai derma yang diterima.
Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau yakin jika niat SPRM meminta penjelasan daripada Najib itu adalah untuk menunjukkan siasatannya telus, maka hasilnya akan lebih meyakinkan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Khairy menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menghentam dan menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin agar melepaskan jawatan dalam UMNO adalah sebagai tidak bijak.
"Kedudukan Tan Sri Muhyiddin dalam UMNO (Timbalan Presiden) perlu terus dihormati, begitu juga Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Naib Presiden).
"Sebarang tindakan yang tidak menggambarkan budaya parti wajar ditolak kerana ia membenarkan bibit perpecahan wujud dalam UMNO," kata Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Dalam rombakan Kabinet oleh Najib pada 28 Julai lepas, Muhyiddin, selaku timbalan perdana menteri, dan Mohd Shafie, selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, merupakan antara yang digugurkan daripada senarai tersebut.
-- BERNAMA

Post a Comment