SRI AMAN: Masyarakat Cina di sini merayu kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak agar menampilkan calon baharu dengan populariti yang tinggi untuk mempertahankan kerusi DUN Simanggang pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Permintaan sebulat suara itu disuarakan oleh Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Sri Aman dan Betong Datuk Dr Ngu Piew Seng pada satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
Menurut Ngu, persekutuan tersebut sudah menulis kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berhubung permintaan itu.
Beliau berkata permintaan secara rasmi disampaikan kepada Adenan pada bulan lepas.
“Walaupun demikian saya masih perlu menegaskan kami mengemukakan permintaan bagi pihak kebanyakan individu yang senyap di Simanggang. Kami dengan ini menggesa Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Sarawak agar menggantikan penyandang kerusi Simanggang sekarang untuk mengelak sebarang masalah,” katanya.
Mengenai satu perkara berasingan, Ngu berkata persekutuannya akan terus mengesyorkan agar seorang kapitan dilantik menjadi pemanca bagi masyarakat Cina di sini.
“Kami sudah menggunakan semua saluran tetapi pelantikan yang disyorkan itu belum juga dibuat. Kami sudah mencuba sedaya upaya tetapi kami tidak akan berhenti hanya kerana hambatan ini.
“Semua kami akan berganding bahu dan terus bersatu bukan sahaja untuk melindungi kepentingan masyarakat Cina tetapi juga menuntut untuk dilayan secara adil,” tegasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment