Pihak cuba gugat hubungan kerajaan pusat, Sarawak akan diambil tindakan



KUCHING: Kumpulan atau individu tertentu yang cuba menggugat hubungan sedia ada kerajaan pusat dan Sarawak diberi amaran akan diambil tindakan tegas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tidak harus ada sesiapa yang cuba mewujudkan kemelut antara kedua-dua kerajaan, pusat dan negeri yang sudah mempunyai jalinan yang sangat baik.

“Jangan ada sesiapa yang cuba menggugat hubungan baik ini dan jangan ada kumpulan yang cuba mewujudkan kemelut antara Sarawak dan Semenanjung.

“Hubungan baik Sarawak, Semenanjung dan Sabah ini seharusnya kita kekalkan, jika ada kumpulan atau individu tertentu cuba menggugat marilah kita RELA (anggota) berada di barisan hadapan untuk mempertahankan hubungan ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Stadium Perpaduan di sini, malam kelmarin.

Katanya, beliau yakin hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan terus dipertingkatkan pada masa hadapan kerana kepercayaan kedua-dua pemimpinnya.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri amat yakin dan percaya dengan kepimpinan Adenan dalam menerajui negeri ini.

“Jalinan kukuh ini bukan sahaja di kalangan tokoh politik, pegawai kanan kerajaan, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat bagi kedua-dua kerajaan negeri dan pusat.

“Namun hati dan jiwa semua rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung harus berada dalam satu demi kemakmuran negara,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang Ahmad Zahid berkata, beliau bersama kabinet persekutuan akan memastikan kemenangan kepada BN Negeri dan yakin BN Sarawak mendapat sokongan daripada rakyat.

“Kami di peringkat persekutuan bersama anggota kabinet persekutuan juga negeri akan datang membantu,” katanya.

Sementara itu, Adenan dalam ucapannya berkata, Sarawak akan terus berdiri teguh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan baharunya, Ahmad Zahid.

Katanya, diharapkan Ahmad Zahid mencontohi Perdana Menteri, yang kerap melawat Sarawak.

“Saya juga yakin, Ahmad Zahid akan melakukan perkara sama, di mana beliau baharu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 10 hari lepas, dan hari ini (kelmarin) beliau sudah pun melawat kita,” katanya.

Bagaimanapun, kata Adenan, beliau (Ahmad Zahid) tidak harus hanya mengadakan lawatan di Kuching sahaja bahkan ke kawasan lain bagi meninjau keadaan hidup dan pembangunan di luar bandar.

“Bila kita menyebut tentang masyarakat Bumiputera di Semenanjung, ia lebih mewakili kaum Melayu. Kalau di Sarawak, ia bukan sahaja merujuk kepada kaum Melayu tetapi juga Melanau, Iban, Bidayuh, Kayan, dan puluhan kaum lain.

“Daripada situ, kita tahu gaya hidup di Sarawak, jangan melawat Kuching sahaja,” kata Adenan. -Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget