KUCHING: Hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak perlu terus diperkukuhkan dalam usaha memastikan keharmonian negara kekal utuh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terdapat cubaan menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin itu atas tujuan tertentu melalui penyebaran pelbagai sentimen negatif.
"Ada pihak atau kumpulan tertentu cuba memecah belahkan .. melaga-lagakan rakyat Sabah, begitu juga Sarawak dengan Semenanjung semata-mata mahu melihat kita bertelagah. Pelbagai sentimen mereka sebarkan untuk mempengaruhi rakyat.
Beliau mengingatkan bahawa ianya adalah suatu perkara serius, malah kita sentiasa memantau kumpulan terbabit kerana kita tidak boleh bertolereansi dengan sebarang anasir yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman rakyat.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) di Stadium Perpaduan, di sini sebentar tadi.
"Berdasarkan perlakuan pihak dan kumpulan terbabit, mereka seolah-olah mahu mewujudkan konsep 'pecah dan perintah' yang sama sekali bertentangan dengan prinsip demokrasi di negara ini."
Beliau berkata, hubungan Kuching dan Putrajaya akan terus diperkukuhkan atas keyakinan Kerajaan Pusat terhadap kepemimpinan Adenan.
"Sebagai anak kampung, saya biasa mengharungi becak dan lumpur .. saya amat memahami kehidupan orang kampung dan olej itu, saya komited dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak," katanya lagi.
Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri agar terus memberi keutamaan kepada Sarawak, terutama dari segi penyediaan peruntukan pembangunan luar bandar dan akan membantu kerajaan negeri ke arah tujuan tersebut.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem dalam ucapannya, mempelawa Zahid agar kerap melakukan lawatan ke negeri ini, terutama ke kawasan pedalaman dan luar bandar.
"Pelantikan beliau (Zahid) diyakini mampu memperkukuhkan lagi hubungan baik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak, khusus dalam memastikan kesinambungan agenda pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri ini.
"Kita juga yakin mereka (bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) adalah gandingan mantap yang mampu membawa lebih kemakmuran kepada negara dan negeri ini," katanya lagi.
Zahid dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, Jalan Bako pada jam 7.30 pagi esok sebelum berlepas pulang ke ibu negara.
Ia sebahagian daripada program bersempena lawatan ulung Zahid ke negeri ini selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet, 28 Julai lalu.
Majlis yang dihadiri lebih 7,000 tetamu jemputan turut di hadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Haji Fadillah Yusof dan dif-dif kenamaan yang lain. - Sarawakiana

Post a Comment