KUALA LUMPUR - Nasib beberapa ahli serta bekas pemimpin utama Pas yang dikenal pasti terlibat dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) sama ada dipecat keahlian atau tidak dijangka diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, esok.
Tindakan disiplin itu mungkin diambil berikutan kumpulan ‘haluan kiri’ itu tidak mengendahkan amaran pucuk pimpinan parti apatah lagi bertentangan dengan dasar perlembagaan parti yang tidak membenarkan ahlinya menyertai parti lain.
Ketetapan awal itu mungkin dilakukan bagi memastikan GHB yang bakal mengisytiharkan penubuhannya sebagai parti politik pada 14 Ogos ini tidak terus menyebarkan pengaruh bagi menarik lebih ramai ahli untuk melompat ke parti baharu itu kelak.
Malah ahli di peringkat akar umbi turut mendesak barisan pemimpin supaya bertindak lebih tegas untuk menyingkirkan kumpulan tersebut dari parti lebih awal meskipun secara dasarnya mereka yang menyertai GHB akan terlucut keahlian secara automatik.
Antara individu yang terlibat dengan gerakan tersebut ialah Mohamad Sabu selaku Pengerusi GHB, Asmuni Awi selaku penyelaras GHB; bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; bekas calon Presiden Pas, Ahmad Awang dan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad.
Turut terlibat dalam gerakan tersebut ialah bekas Ahli Jawatankuasa Pas, Khalid Samad; bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat; Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, pemimpin Pas dalam GHB yang diketuai bekas Timbalan Presiden, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu perlu segera meninggalkan parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar menegaskan, langkah meninggalkan Pas harus dilakukan dengan serta-merta tanpa perlu menunggu parti baharu itu ditubuhkan.
Dalam pada itu pada mesyuarat harian Pas Pusat minggu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi amaran terakhir bahawa ahli tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan aktiviti GHB.
- Utusan Online

Post a Comment