Fadillah serah pucuk pimpinan pilih calon Pemuda wakili BN


KUCHING: Ketua Pergera-kan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk melantik calon Pemuda mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita yakin pemimpin kita sentiasa memikirkan gambaran lebih besar untuk kita mempunyai keseimbangan dari segi wakil bukan sahaja dari segi keturunan, agama tetapi dari pelbagai latar belakang.

“Saya juga yakin di peringkat pimpinan Pemuda ramai mereka yang berkelayakan untuk menjadi calon BN,” katanya semasa merasmikan penutupan Kejohanan Liga Hoki Sarawak 2015 bertempat di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Jalan Padungan kelmarin.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya melahirkan harapan agar lebih ramai pemimpin-pemimpin muda tidak kira dari pergerakan Pemuda mahupun Wanita diketengahkan pada PRN akan datang.

Ini bagi menjadikan parti berkenaan relevan kepada golongan muda yang berhasrat agar suara mereka didengar melalui wakil rakyat yang telah dipilih.

“Itu harapan kita tetapi ia bukan desakan dan percaya pemimpin tertinggi juga telah memikirkannya,” jelas Menteri Kerja Raya itu lagi.

Menurut Fadillah, berdasarkan sejarah pada PRN lepas, PBB sentiasa meletakkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus muka baharu sebagai calon BN.

“Saya percaya YB Ketua Menteri yang baharu mungkin akan mengekalkan tradisi sedemikian iaitu akan ada muka baharu diperkenalkan supaya pertumbuhan semula pemimpin PBB akan sentiasa berlaku,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata gerakan Pemuda telah bersiap siaga sejak PRN lepas untuk menghadapi gelombang PRN kali ini dengan bergerak di seluruh negeri untuk memastikan jentera Pemuda sentiasa berdamping dengan akar umbi melalui pelbagai program-program yang mereka anjurkan.

Terdahulu, Fadillah sempat meluangkan masa menyertai perlawanan hoki persaha-batan VVIP bersama bekas pemain dan jurulatih hoki negeri.

Turut serta Presiden Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS), Haidel Heli.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget